Tahniah Aishah, tapi jangan dipergunakan pemimpin pembangkang - Rizal Mansor

Astro Awani
Disember 19, 2017 22:38 MYT
Rizal sifatkan pemimpin Amanah terdesak kerana anggap kemenangan Aishah dapat membantu parti itu dalam PRU14. - Gambar fail
Pembantu khas kepada isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menasihatkan golongan artis agar tidak dipergunakan oleh parti-parti pembangkang.
Hujah Rizal, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah membuktikan segala-galanya dengan rakyat terus memilih parti yang boleh membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negara iaitu Barisan Nasional (BN).
"Tahniah kepada Aishah kerana telah berjaya membuat ‘come back’ ke arena persada seni negara. Nasihat saya, teruskan dengan kerjaya sebagai artis kerana itu bakat anda.
"Jangan terlalu asyik dengan pemimpin politik Amanah yang ‘tertendang’ keluar dari arus politik dan masih terkial-kial untuk buat ‘come back’.
"Usah biarkan populariti anda dipergunakan oleh Amanah, cukup sekadar mereka selamanya digelar sebagai ‘suruhan’ DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin muncul juara rancangan Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) merupakan anggota Parti Amanah Negara (Amanah).
Pada PRU13 yang lalu, Aishah bertanding kerusi parlimen Jempol atas tiket Pas namun tewas ditangan calon BN Tan Sri Isa Samad.
Dalam kenyataan yang sama, Rizal menyifatkan pemimpin parti Amanah terdesak kerana membuat andaian kemenangan Aishah dalam program GV4 akan membantu parti itu terutama menjelang PRU14.
"Tak kisahlah sama ada menjadi liabiliti atau aset kepada AMANAH, harap badut-badut politik dari AMANAH tidak menggunakan populariti artis untuk meraih perhatian dari rakyat atau untuk menarik pengundi muda.
"Apakah dengan terus menjadikan artis sebagai ayam tambatan mereka boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat, boleh ringankan beban yang AMANAH dakwa ditanggung oleh rakyat selama ini," katanya lagi.
Sehari selepas Aishah menjuarai GV4, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata kemenangan penyanyi itu akan membantu partinya menjelang PRU14.
#Aishah #Amanah #Barisan Nasional #Gegar Vaganza 4 #GV4 #Malaysia #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #Rizal Mansor #UMNO #Wan Aishah Wan Ariffin
;