Tafsiran Tun M tentang status Facebook Ismail Sabri terpesong - Penganalisis

Astro Awani
Jun 5, 2021 14:33 MYT
Dr. Jeniri menegaskan, bekas Perdana Menteri itu hanya memenuhi agenda sendiri dan tidak mahu menerima maksud sebenar yang disampaikan Menteri Kanan (Keselamatan). - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad terpesong apabila menafsir maksud hantaran Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu 'tutup pintu depan'.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir menegaskan, bekas Perdana Menteri itu hanya memenuhi agenda sendiri dan tidak mahu menerima maksud sebenar yang disampaikan Menteri Kanan (Keselamatan).
"Komen bekas Perdana Menteri itu yang mengaitkan kerajaan pintu belakang adalah tidak lagi relevan kerana apa yang penting kerajaan sekarang telah disokong oleh Ahli Parlimen yang yakin akan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara ketika ancaman pandemik COVID-19.
"Apa-apa pun tafsiran yang dibuat terhadap ungkapan itu, jelas mencerminkan kekesalan dan kekecewaan beliau, sekali gus menunjukkan ketidakmatangan sebagai bekas Perdana Menteri.
"Kita tidak harus hairan dengan segala tanggapan dan tafsiran yang dibuat Dr. Mahathir mengenai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini terutamanya selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri sesudah kejatuhan Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA: "Saya dah tutup pintu depan tapi..." - Kemas kini Ismail Sabri curi tumpuan warganet
BACA: Azmin respons hantaran 'pintu depan' Ismail Sabri
Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan menyatakan keliru dengan hantaran status Facebook Ismail Sabri Yaakob berkenaan ‘tutup pintu depan’ yang mengundang spekulasi ramai.
Ini kerana, Dr. Mahathir menjelaskan tidak dapat mengenal pasti mengenai pintu yang dimaksudkan Ahli Parlimen Bera berkenaan.
Bagaimanapun Ismail Sabri menyatakan tiada sebarang maksud tersirat di sebalik kenyataan tersebut melainkan mahu pulang selepas selesai waktu kerja.
Dalam pada itu Dr Jeniri memaklumkan, Dr Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang menggunakan logiknya sendiri untuk memenuhi agenda peribadi atau partinya.
"Ungkapan Ismail Sabri itu berlapik, ada makna dan mesej lain yang cuba dihantarnya.
Dalam konteks komunikasi politik, ungkapan itu bukan dibuat sesuka hati, apatah lagi apabila kata-kata itu disertakan dengan gambar.
"Seorang pemimpin politik tidak mungkin mengungkapkan sesuatu sesuka hati, malah kadang-kadang mereka menyampaikan mesej atau maksud dengan berpegang kepada peribahasa 'pukul anak sindir menantu'.
"Rakyat tidak harus ambil serius pandangan beliau yang semakin tidak lagi berjejak, melainkan bersalutkan agenda kekecewaan ekoran kesilapannya sendiri sehingga PH tidak lagi berkuasa," ujarnya.
Katanya lagi, Dr Mahathir juga akan menggunakan segala kesempatan untuk memberi gambaran bahawa kerajaan sekarang tidak sah dan tidak mendapat mandat daripada rakyat.
#COVID-19 #Parlimen #Facebook #Pakatan Harapan #pintu #Politik Malaysia #Jeniri Amir #ismail sabri yaakob #Mahathir Mohamad
;