Syed Saddiq sah cabar Razali di Muar

Bernama
April 7, 2018 05:02 MYT
Syed Saddiq (empat kiri) diumumkan sebagai calon PH di Parlimen Muar pada ceramah Harapan Malaysia di Parit Jawa, Muar, malam tadi, 7 April, 2018. Turut kelihatan di atas pentas, Dr Mahathir, Muhyiddin dan Salahuddin. - Foto Astro AWANI
Pemimpin muda pembangkang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sah akan mencabar penyandang kerusi Parlimen Muar selama tiga penggal, Datuk Seri Razali Ibrahim, pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan nama pemuda berusia 25 tahun itu sebagai calon PH di Parlimen Muar pada ceramah Harapan Malaysia di Parit Jawa di sini Sabtu malam.
Syed Saddiq merupakan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Dr Mahathir sebelum parti itu dibubarkan sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk tempoh 30 hari.
Dr Mahathir turut mengumumkan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub sebagai calon PH untuk kerusi Parlimen Simpang Renggam yang disandang oleh Liang Teck Meng dari Gerakan.
Ketua Amanah Ledang, Dr Faizul Amri Adnan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom dan Ketua Wanita Amanah Johor, Norhayati Bachok calon DUN Maharani.
Bagaimanapun, pada ceramah tersebut, tiada pengumuman mengenai calon untuk Parlimen Pagoh yang disandang Timbalan Presiden PH,Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut hadir pada ceramah tersebut.
Pada PRU13, Razali, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menang kerusi Parlimen Muar dengan majoriti 1,646 undi. - BERNAMA
#calon #Mahathir Mohamad #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #Muar #Pagoh #Pakatan Harapan #Parlimen Muar #Parlimen Pagoh #PRU14 #Razali Ibrahim #Syed Saddiq
;