Syed Saddiq maafkan 'mat motor' buat kecoh
Sinar Harian
Oktober 17, 2022 07:00 MYT
Oktober 17, 2022 07:00 MYT
MUAR: PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaafkan sekumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi semasa ceramahnya di Muar pada Ahad lalu.
Dalam satu hantaran di Facebook, Syed Saddiq menyatakan bahawa kumpulan tersebut bukanlah musuhnya.
“Saya di sini untuk bela kamu, bukan lawan kamu. Kepada kumpulan anak muda ini, kamu bukanlah musuh saya, saya maafkan kamu,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini, kumpulan anak muda itu dilaporkan mencetuskan provokasi dalam ceramahnya dengan melaungkan ‘penipu’ dan disusuli dengan cubaan untuk merusuh kawasan khemah.
Bagaimanapun, cubaan tersebut gagal apabila dihalang oleh sekumpulan penyokong parti MUDA dan polis yang membentuk penghalang daripada memasuki khemah.
Syed Saddiq pada masa yang sama menegaskan bahawa pihaknya sedang sedaya upaya berbuat yang terbaik demi masa hadapan generasi muda.
“Saya faham lebih 71 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak ingin melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) kerana dengan menjadi graduan, gaji masih rendah dan menanggung beban hutang pendidikan yang tinggi.
“Saya juga faham ketika dua pertiga anak muda apabila ditanya sanggup meninggalkan negara untuk pekerjaan yang lain kerana tidak ada pekerjaan yang bermaruah untuk mereka di Malaysia.
“Kerana itulah saya ingin tolong kalian semua untuk mendapatkan pekerjaan dan taraf hidup yang lebih baik supaya satu masa nanti kita dapat tinggal dalam Malaysia yang lebih baik,” ujar beliau.
Syed Saddiq turut berkata, pihaknya juga berusaha memberikan yang terbaik bagi membantu seluruh warga Muar.
“Sebab itu ketika musim Covid- 19, saya dan kumpulan sentiasa berusaha dapatkan komputer riba yang berkualiti bagi anak-anak Muar yang terputus pendidikan atas talian dan juga dapatkan ratusan ribu ringgit untuk biasiswa Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi keluarga yang susah,” jelasnya.
Ulas beliau, segala bantuan yang disalurkan tidak mengambil kira soal agama, bangsa dan fahaman politik.
“Walaupun kamu lawan saya, saya tetap hormat kamu dan bantuan wajib diberikan tanpa mengira fahaman politik,” tambahnya. - Sinar Harian