Syed Rosli, kalau berani sila tanding jawatan Presiden UMNO - Jamawi
Wan Syamsul Amly
Disember 19, 2014 14:38 MYT
Disember 19, 2014 14:38 MYT
Ketua Penerangan Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dicabar untuk mencalonkan diri sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, kelantangan Syed Rosli sekali gus dilihat sikap individu yang tidak profesional dan gagal memahami perjuangan serta dasar parti.
"Kita tahu dia cabar Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, kita juga tahu berapa sangat sokongan yang dia ada sekarang.
"Ini sikap pejuang yang tidak memahami aspirasi parti, kalau dia bising-bising begini, kita cadangkan dia calonkan diri untuk lawan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jamawi mengulas surat terbuka Syed Rosli yang meminta Datuk Seri Najib Tun Razak berundur dari kedudukannya dalam parti serta sebagai perdana menteri agar ruang itu dapat diberikan kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Syed Rosli di dalam kenyataannya turut mengingatkan Khairy yang tidak mungkin berada di tahapnya seperti sekarang tanpa sokongan akar umbi selain memberitahu suara akar umbi itulah yang menyaksikan bagaimana bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berundur daripada jawatannya.
Khairy bagaimanapun sebelum ini memaklumkan, permintaan Syed Rosli tidak harus dilayan kerana hanya suara paling rendah di dalam hierarki UMNO.
Dalam pada itu kata Jamawi, kekalahan Syed Rosli pada pemilihan Ketua Pemuda lalu membuktikan individu itu tidak mempunyai penyokong untuk 'mengangkatnya' ke tahap lebih tinggi dalam parti.
"Jadi kita anggap apa sahaja yang dia kata hanya pandangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan UMNO," jelasnya.
Selain Syed Rosli, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali turut mencalonkan diri menentang Khairy pada pemilihan Ketua Pemuda yang lepas.
Bagaimanapun, Khairy menang jawatan itu untuk kali kedua selepas mengalahkan semua lawannya dengan menyapu bersih semua undi bahagian di seluruh negara.