Syed Mohd Kazim nekad kembalikan sokongan orang muda kepada UMNO
Sinar Harian
Februari 5, 2023 07:45 MYT
Februari 5, 2023 07:45 MYT
JOHOR BAHRU: Aktivis Pemuda UMNO, Syed Mohd Kazim Syed Nasir menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada pemilihan parti berkenaan pada bulan depan.
Syed Mohd Kazim yang juga Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO sedia menjadi calon jawatan itu untuk memberi perubahan selain mengembalikan semula keyakinan orang muda terhadap parti.
"Parti ini harus kembali kepada UMNO yang asal iaitu lantang memperjuangkan nasib bangsa Melayu di samping menjaga keharmonian kaum lain.
"Sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, perjuangan tetap sama, membela nasib rakyat khususnya Melayu dengan tidak meminggirkan kaum lain.
"Sekiranya terpilih, barisan kepimpinan terlebih dahulu perlu meletak harapan membawa semula anak-anak muda ke dalam perjuangan yang sebelum ini sudah jauh tersasar akibat kurang diberikan peluang bersama serta tumpuan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, anak-anak muda perlu diberikan peluang serta ruang selain dicarikan solusi untuk mereka menghadapi krisis ekonomi dengan memudahkan mempunyai kerjaya bagi menampung kehidupan diri dan keluarga.
"Namun sebelum ini dilakukan, barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO terlebih dahulu perlu mengembalikan kebersamaan orang muda kepada UMNO terutama sekali mereka yang berumur 18 tahun," katanya.
Syed Mohd Kazim amat berharap perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam nanti mampu menilai barisan kepimpinan sayap berkenaan yang selayaknya sebagai nakhoda parti.
Jika tersilap pilih, katanya, dikhuatiri UMNO tidak akan menjadi pilihan anak-anak muda kerana kesilapan pentadbiran dan secara tidak langsung memburukkan parti secara keseluruhannya.
"Hakikatnya, UMNO perlu menjadi salah satu nilai tambah kepada kehidupan masyarakat setempat dengan memberikan perkhidmatan tanpa menunggu mereka mencari kita.
"Ini adalah merupakan salah satu intipati perjuangan yang saya akan bawa walau siapapun yang akan menjadi penerajunya nanti," ujar bekas Setiausaha Agung Siswa Barisan Nasional (SBN) itu.
Menurut Syed Mohd Kazim, UMNO perlu bersifat lebih fleksibel dan terbuka untuk menerima calon-calon yang berpotensi menerajui UMNO di bahagian masing-masing terutama di Simpang Renggam. -Sinar Harian
#Barisan Nasional
#Aktivis Pemuda UMNO
#Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam
#Syed Mohd Kazim Syed Nasir