Syed Hussien calon BN PRK DUN Mahkota
Bernama
September 7, 2024 18:41 MYT
September 7, 2024 18:41 MYT
KLUANG: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 Sept ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN bagi PRK berkenaan di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata pemilihan itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya telah bertemu dengan semua calon, jika terpilih mereka kata alhamdulillah... jika tidak (terpilih) mereka akan setia berjuang habis-habisan bagi BN menang di sini.
"Kepada semua jentera ambil pengajaran dan panduan daripada bakal-bakal calon, kalau mereka boleh terima dengan hati terbuka saya minta jentera juga terima keputusan ini. Berikan sokongan tidak berbelah bahagi, calon ini adalah calon boleh menang," katanya.
Turut hadir Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan, Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Naib Presiden MIC Datuk Dr R. Nelson.
Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata pihaknya berharap lebih 60,000 pengundi DUN Mahkota akan memberi ruang dan peluang kepada Syed Hussien untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sebelum ini.
"Syed Hussien ini calon berwibawa yang boleh kita ketengahkan daripada banyak calon berkaliber. Kita memilih beliau untuk meneruskan perjuangan dan perkhidmatan Datuk Sharifah Azizah.
"Walaupun berusia 40 tahun dan merupakan seorang calon muda, beliau telah berkhidmat agak lama dalam politik. Saya ada keyakinan beliau boleh memastikan BN menang pada 28 Sept ini," kata Onn Hafiz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.
-- BERNAMA