Syarat Tun M pada Muhyiddin, buang UMNO jika mahu jumpa beliau
Salim Aziz
Mac 8, 2020 19:26 MYT
Mac 8, 2020 19:26 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan syarat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan pemimpin yang dikaitkan dengan kegiatan penyelewengan dan rasuah khususnya dari parti UMNO jika mahu mengadakan sebarang pertemuan dengannya.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, ketika ini tiada keperluan untuknya bertemu dengan pemimpin nombor satu negara itu bagi menyelesaikan pertikaian politik sekiranya syarat terbabit tidak mampu dilaksanakan.
Dr Mahathir turut mengesahkan telah menerima surat daripada Muhyiddin meminta pertemuan diadakan dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun, Dr Mahathir terpaksa menolak untuk berbuat demikian memandangkan Perdana Menteri telah menjelaskan pendiriannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama keseluruhan Ahli Parlimen UMNO sebelum ini.
"Dia (Muhyiddin) ada nak jumpa saya. Saya dah jumpa dia dari dulu, saya dah terang dah pendirian saya.
"Saya tak berubah, saya janji bahawa saya tak akan bekerjasama (dengan pemimpin yang terlibat dengan rasuah), Muhyiddin pun janji, dia (yang) kita tengok dalam video klip macam mana dia kata dia tidak akan bekerjasama dah dengan UMNO apa semua.
"Tapi sekarang dia terima UMNO sebagai parti yang terbesar dalam kerajaan dia... parti dia (Bersatu) cuma enam orang saja (Ahli Parlimen asal)... Bersatu cuma enam orang saja, parti UMNO 51 orang (termasuk yang sertai Bersatu)
"Saya tak tengok apa sebab saya nak jumpa (Muhyiddin) melainkan kalau dia sanggup buang orang itu semua, boleh jumpalah kot itupun saya akan timbangkan," kata Dr Mahathir lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Bersatu Cawangan Kedawang, Langkawi pada Ahad.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berharap agar Dr Mahathir bertemu dengan Muhyiddin selepas timubul desakan dalam kalangan ahli parti itu yang berharap pemimpin tertinggi parti itu dapat berdamai dan kembali mengukuhkan parti.
Dr Mahathir sebelum itu turut menjelaskan sukar untuk berdamai memandangkan beliau masih teguh dengan prinsip untuk tidak bekerjasama bersama pemimpin yang didakwa di mahkamah.
#Bersatu
#buang UMNO
#Langkawi
#Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Syarat Tun M pada Muhyiddin