Syahredzan, Young Syefura dipilih anggotai CEC DAP
Sinar Harian
Mac 16, 2025 21:00 MYT
Mac 16, 2025 21:00 MYT
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman antara pemimpin Melayu yang terpilih dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bagi penggal 2025 hingga 2028. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman antara pemimpin Melayu yang terpilih dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bagi penggal 2025 hingga 2028.
Pegawai Pengurus Pemilihan CEC DAP, Desmond Tan berkata, Syahredzan memperoleh undian sebanyak 2,065 manakala Young Syefura 1,943.
Menurut beliau, calon Melayu lain yang bertanding iaitu Azaha Abdul Rani hanya mendapat undian sebanyak 191, Sheikh 'Umar Bagharib Ali (478), Supian Zaharin (170) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (694).
"Calon nombor 54 iaitu Syahredzan dan nombor 70, Young Syefura antara 30 yang dipilih menganggotai CEC DAP.
"Wakil rakyat DAP yang mendapat undian tertinggi ialah Gobind Singh Deo (2,785); Chong Chieng Jen (2,631) dan Teo Nie Ching (2,585)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan pemilihan CEC sempena Kongres ke-18 DAP, bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.
Pemilihan CEC DAP diadakan bagi menyaksikan 65 calon berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong sebelum ini memaklumkan, sebanyak 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan terbabit.
Mereka yang terpilih dalam CEC akan menerajui DAP bagi penggal 2025 hingga 2028, kemudiannya memilih kepimpinan tertinggi termasuk Setiausaha Agung baharu.
CEC DAP ialah badan pembuat keputusan tertinggi yang mengetuai parti itu bagi menetapkan hala tuju dan dasar, menguatkuasakan perlembagaan parti serta mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu berdasarkan perlembagaan.