Survival politik Amanah dan setiakawan yang dikhianati
Hisommudin Bakar
Mac 2, 2021 16:19 MYT
Mac 2, 2021 16:19 MYT
BARU-baru ini, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan meninggalkan parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka masing-masing ialah Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim; Adun Serom, Faizul Amri Adnan serta Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.
Sebelum ini dua wakil rakyat Amanah di Selangor iaitu Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman juga telah mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PKR.
Tindakan tiga orang Adun dari Amanah membuat keputusan berhijrah ke PKR menimbulkan banyak persoalan kepada mereka yang mengikuti perkembangan politik negara. Apa sudah jadi kepada Amanah sekarang? Daripada sebuah parti yang pernah menjadi kerajaan kini berdepan dengan hakisan kepercayaan ahli sendiri yang meninggalkan perjuangan parti.
Ramai ingin tahu sebab musabab mengapa ada ahli dan juga pimpinan Amanah meninggalkan parti ini. Bukan setakat itu sahaja, isu ini diheret sehingga menyebabkan keharmonian sesama parti di dalam Pakatan Harapan (PH) nampaknya bergoncang.
Wujud serang menyerang melalui kenyataan media terbuka antara pimpinan dan ahli kedua-dua parti. Medium media sosial dijadikan medan pertembungan melepaskan ketidakpuasan hati sesama mereka dengan apa yang berlaku selepas berlalu insiden ini.
Pada sisi perpaduan dalam PH pula, isu ini memperlihatkan PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak ke hadapan mengharmonikan keadaan. Setakat rencana ini ditulis, tiada kenyataan dari PKR merasionalkan parti mereka menerima kemasukan Adun dari Amanah ini. Sewajarnya dalam isu Adun dari Amanah yang memohon untuk menyertai PKR, adalah manis dan molek perilaku serta adat setiakawan sekiranya PKR memaklumkan dan berbincang mengenai permohonan kemasukan itu untuk tindakan Amanah. Andai sukar untuk bertemu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, aplikasi Zoom, Webex dan lain-lain lagi boleh digunakan untuk berbincang tentang perkara ini. Apalah ertinya setiakawan kalau hal begini pun tidak boleh berbincang.
Tidak wajar sama sekali PKR menerima dan mengumumkan kemasukan parti rakan walau apapun alasan yang diberikan. Semangat setiakawan dalam berorganisasi wajar dipelihara dan keharmonian hubungan persahabatan mesti dijaga sebaiknya. Biarpun Amanah parti kecil, sekurang-kurangnya hormatilah rakan-rakan yang sama-sama menempuh saat sukar dan getir.
AMANAH dan cerita di sebaliknya
Bagi berlaku adil dalam menilai Amanah, kita perku memahami latar belakang parti ini ditubuhkan. Ini boleh memberikan gambaran "baseline" kekuatan parti ini dan bagaimana keadaan sekarang boleh diperkotak-katikkan oleh kawan dan awan.
Titik mula penubuhan dengan bekas pimpinan Pas Pusat yang dikenali sebagai Kumpulan 18 (G18) tewas secara pukal dalam Muktamar Tahunan Pas di Kuala Selangor pada Jun 2015. Kumpulan ini pantas menggerakkan usaha politik dengan perjuangan ke arah penubuhan parti Islam yang lebih moderat dan inklusif. Cuba lari dari pembawaan Parti lama mereka. Terdapat beberapa pertemuan penting antaranya ialah pertemuan Melawati, rumah Kamaruddin Jaafar dan hinggalah kepada Gerakan Harapan Baharu (GHB) dilancarkan di Markaz Pas Bakri di Johor.
Gerakan Harapan Baharu dlam bentuk task force ini mula membuat "roadshow" selepas Ramadhan tahun berkenaan untuk melihat penerimaan kepada perjuangan mereka. Gelombang yang dibina akhirnya memberi keyakinan untuk serius memikirkan mendaftarkan parti ini secara rasmi. Pada peringkat ini, pimpinan dari parti Keadilan dan DAP turut serta memberikan sokongan ke arah pembentukan sebuah parti politik dalam negara ini.
Pada peringkat penubuhan lagi, tema yang diangkat adalah untuk melahirkan sebuah gerakan pollitik Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam. Konsep ini diketengahkan di samping ingin melihat sebuah parti Islam yang progresif dan inklusif menjadi kenyataan. Ini bezanya Amanah dengan parti Pas ketika ianya ingin ditubuhkan.
Usaha makin serius, GHB mengambil alih sebuah parti tidak aktif iaitu Parti Pekerja Pekerja Malaysia dan kemudiannya dijenamakan semula menjadi Parti Amanah Negara. Pengasas parti memilih pelancaran ini dilakukan secararasi pada tanggal 16 September 2015 bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia tahun berkenaan.
Seminggu kemudian Pakatan Harapan ditubuhkan dengan keanggotaan Keadilan, DAP dan parti baharu, Amanah. Bergeraklah ketiga parti ini dan kemudiannya menerima komponen baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia menjadikan empat parti berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam PRU 14.
Amanah Bermula dengan bergaya
Ketika awal penubuhan, pertembungan tentera siber di media sosial gamat antara penyokong Pas dan Amanah. Penyokong Pas sangat agresif dan berusaha melumpuhkan semangat dan moral penyokong Amanah. Pada fasa ini, langkah paling berkesan ialah mengaitkan Amanah dengan parti yang menjadi punching bag kepada parti Melayu, DAP. Maka lahirlah perkataan Amanah merupakan khadam DAP dan PANDAP. Label kepada Pas pula muncul perkataan baharu, Walaun merujuk kepada kesetiaan secara membabi buta kepada pimpinan Pas.
Semua ini tidak melunturkan perjuangan Amanah yang baharu bertapak. Amanah memainkan peranan seiring dengan pimpinan PH yang lain. Ketika itu juga, watak seperti Mohamad Sabu atau Abang Mat menjadi penceramah yang selalu digandingkan bersama Dr Mahathir dalam roadshow ceramah PH. Satu pengiktirafan kepada Amanah.
Dengan usaha bersama, selepas keputusan PRU 14 yang mengejutkan iaitu gergasi politik BN yang menerajui negara lebih 6 dekad tumbang. Sesuatu keputusan yang luar biasa. Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang diadakan 9 Mei, PKR memenangi 47 kerusi, DAP (42), Bersatu (13), Amanah (11) dan Warisan (8).
Amanah memperolehi 11 kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri. Satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah parti baharu. Selepas memjadi sebahagian parti komponen kerajaan, Amanah juga menerima 3 kuota Ahli Dewan Negara.
Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Amanah diberi kepercayaan memikul tugas penting dalam Anggota Kabinet Persekutuan . Lima Ahli Parlimen Amanah dilantik sebagai Menteri dan lima termasuk seorang Senator dilantik sebagai Timbalan Menteri. Dengan perlantikan ini, Amanah dilihat memperolehi keuntungan yang agak lumayan walaupun hanya 11 kerusi yang disumbangkan oleh parti ini di dalam PH.
Berbaki dua orang sahaja ahli Parlimen Amanah yang tidak bergelar Menteri atau Timbalan Menteri iaitu Hulu Langat dan Tampin. Malah kedudukan Amanah ini lebih baik jika nak dibandingkan dengan jumlah jawatan yang diperolehi oleh parti induk mereka dahulu iaitu Pas dalam Kerajaan PN sekarang.
Pemilihan yang mencarikkan kekuatan
Sepanjang berada dalam kerajaan, Amanah tidak memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk mengukuhkan kedudukan politik parti ketika itu. Mungkin kerana kejutan budaya dan juga "kesibukan" pemimpin yang hampir kesemuanya menjawat jawatan penting dalam kerajaan, pengukuhan parti kelihatan sedikit terabai.
Pada peringkat negeri pula, Melaka Menteri Besar dipilih dari Amanah. Di negeri lain, Adun dari Amanah dilantik memegang portfolio yang penting dalam negeri-negeri yang dipimpin PH. Dengan pengaruh di peringkat Persekutuan dan negeri, kedudukan Amanah sepatutnya boleh diperkukuhkan jenama parti ini dengan lebih baik di dalam setiap kawasan Parlimen dan Dun yang mereka bertanding dahulu. Tetapi, mungkin kerana 22 bulan satu tempoh yang singkat sebelum sempat untuk menyusun langkah politik dengan lebih jauh, PH jatuh sebagai kerajaan.
Berbalik kepada Amanah ketika fasa menjadi kerajaan. Ketika ini Amanah menerima pertambahan anggota baharu yang ramai dan peningkatan jumlah yang drastik. Ini mungkin disebabkan parti itu merupakan sebahagian dari kerajaan yang memerintah. Keahlian baharu ini Ada sebahagian datang dari bekas ahli UMNO dan ada juga mereka yang tidak berparti mendaftar sebagai ahli baharu Amanah. Jumlah Ahli Pas yang menyertai Amanah sangat minima kerana ketajaman pertembungan Amanah. Oleh itu, penyokong Pas yang ingin bertukar parti pada fasa ini kelihatan sudah tepu untuk berubah kepada Amanah.
Kesan dari pertambahan mengejut ini ke dalam sistemik pengurusan Amanah maka dari sudut budaya politik, wujud kerencaman dan kepelbagaian fikrah di dalam Amanah. Kerencaman dan kepelbagaian ini dalam tidak disangka rupanya membawa keadaan yang tidak dapat dikawal oleh Amanah. Ini kerana keahlian baharu dari pelbagai latar belakang tidak sempat diurus dan diproses oleh Amanah. Fikrah tidak sempat diselaraskan. Kesatuan pemikiran tidak sempat dibentuk kerana selepas setahun dalam kerajaan, Amanah terpaksa mengadakan pemilihan parti melibatkan pemilihan kepimpinan di peringkat kawasan, negeri dan nasional.
Dengan pertabahan ahli, cawangan serta kawsan baharu, pihak pengurusan Parti yang dilihat kurang persediaan menyebabkan perjalanan pemilihan Amanah pertama kali ini yang agak "messy". Persaingan merebut jawatan dalam kepimpinan Amanah pelbagai peringkat menjadi "turning point" kepada apa yang berlaku kepada parti itu sekarang. Kesannya, pemilihan 2019 ini menjadi medan pertembungan yang sangat sengit dan hangat di dalam parti dan ianya masih terkesan sehingga kini.
Kehangatan bahang pertembungan ini, pihak yang tewas, sebahagiannya mengambil pendekatan "tawaqquf" (berhenti rehat) dan ada yang hanya melihat parti dari jauh. Lebih teruk, ada yang keluar meningggalkan parti secara berperingkat terutama selepas Amanah tidak lagi menjadi kerajaan.
Sebahagian besar ahli dan pimpinan yang ditemui mengakui mereka amat kecewa dengan pertembungan dalaman yang wujud di dalam Amanah. Ini merupakan rentetan dari impak pemilihan dalam parti yang lalu dan berlarutan sehingga sekarang. Parut kesan dari luka berkenaan masih berdarah. Pimpinan yang menang pula seakan tidak berusaha mencantumkan carik yang berlaku selepas sebahagian mereka yang tewas membawa diri, kecewa dan menghilangkan diri.
Keadaan ini sedikit sebanyak merencatkan kekuatan yang dimiliki Amanah. Sebahagian besar aktivis asal yang kalah tidak lagi aktif seperti dahulu. Ketika Pemilihan, Amanah adalah parti kerjaan, tetapi kini bertukar menjadi pembangkang. Sudah tentu ada perubahan dalam aspek ini. Parti ini tidak lagi boleh menumpang atas kekuatan fungsi parti di dalam kerajaan. Sumber parti juga semakin terhad yang turut menyumbang kepada penyusutan sokongan kepada Amanah.
Dalam keadaan kekuatan dalaman yang rapuh sebegini, unsur ketidakpuasan hati, kecewa, penat bertelagahh sesama sendiri menyebabkan Amanah melemah dari segi kekuatan moral aktivis parti mereka. Mana mungkin kekuatan dapat dibina apabila sebahagian ahli kini tidak bersemangat sepertimana awal penubuhan Amanah dahulu.
Dua aliran yang berbeza
Impak kejatuhan kerajaan PH selepas Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 memberikan kesan besar kepada parti-parti di dalam PH termasuklah Amanah.
Di dalam kekeruhan politik ketika itu dan semuanyaberusaha ingin mengembalikan mandat rakyat dalam PRU lalu melahirkan pertembungan posisi politik yang baharu di dalam Amanah. Ada dua perkara yang dinilai di sini yang mempamerkan wujud pencapahan dalam menentukan pendirian politik terbaik yang perlu diambil oleh Amanag. Ini melahirkan dua jalur pemikiran dan terdapat pimpinan yang membentuk kumpulan berasaskan asas pendirian ini. Ia juga menyebabkan wujud dilema besar untuk memilih pilihan yang ada.
Pertamanya ialah dilema memilih antara Dr Mahathir ataupun Anwar. Selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan dan tindakan ini menjadi punca perbalahan melahirkan dua aliran atau kumpulan utama di dalam Amanah.
Bagi pemimpin yang menyokong Dr Mahathir, mereka berpendapat pengaruh Dr Mahathir masih signifikan dalam melonjak sokongan pengundi Melayu yang tidak dipunyai oleh PH. Oleh itu, dr Mahathir wajar mengepalai usaha mengembalikan mandat rakyat dengan gabungan PH Plus. Atas pengaruh Dr Mahathir masih kuat dan tidak wajar dikesampingkan, maka bagi pimpinan dalam jalur ini masih berusaha memujuk Dr Mahathir untuk bersama PH. Malah pimpinan utaa Amanah bersedia menjadi orang tengah memperbaiki hubungan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim.
Mereka kelihatan kagum dengan kemampuan Ahli Parlimen Langkawi itu ketika menjadi Pengerusi PH. Hujah bagi aliran ini bersandar kepada kualiti gaya kepimpinan yang dimiliki Dr Mahathir. Banyak pihak yang mengakui bahawa Dr Mahathir merupakan seorang ketua yang tegas, utuh dalam tindakan, pendengar yang baik, berdisiplin dalam mengatur perjalanan mesyuarat PH dan kerajaan, malah berjaya mencapai keputusan walaupun berat, sensitif dan kontroversi.
Dengan jumlah ahli parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), PH tidak mampu membentuk majoriti yang diinginkan untuk mengalahkan majoriti PN dan BN. Muncul lah gagasan mempelopori apa yang dinamakan sebagai "Grand Coalition" untuk PH mempertimbangkannya, namun sehingga sekarang idea ini tidak disambut oleh PKR. Pendek kata, mereka lebih selesa dengan pendekatan Dr Mahathir dan mengakui kekuatan yang dimiliki oleh beliau.
Bagi kumpulan yang mengangkat ketokohan Anwar pula mempunyai hujah yang tersendiri. Kumpulan ini menganggap pendirian Dr Mahathir memang sejak dari awal tidak menyenangi janji PH mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri. Perseteruan dua musuh ketat ini pada pengamatan aliran ini sukar didamaikan. Kumpulan ini menyifatkan kumpulan yang masih mahu menerima Dr Mahathir sebagai mereka yang banyak termakan jasa melalui lantikan politik yang diberikan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Dalam pada itu, mereka melihat pengaruh dan aura Dr Mahathir sudah hilang ekoran penolakan besar rakyat yang marah apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan tanpa berunding terlebih dahulu dengan PH. Pendedahan buku tommy thomas mengesahkan kepercayaan ini. Bukan itu sahaja, Dr Mahathir kini sudah menjadi liabiliti kepada PH. PH perlu mengubah pola tumpuan dari Dr Mahathir kepada Anwar sepenuhnya. Amanah perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar sebagai calon PM terbaik untuk PH
Elemen kedua pula melibatkan strategi Amanah dalam pilihan raya umum akan datang. Ini melihat kepada potensi kerusi yang akan ditandingi Amanah. Jika disorot kedudukan kerusi yang dimasuki Amanah, kita boleh melihat Amanah berada dalam perebutan kerusi Parlimen di kawasan lingkaran Melayu. Perebutan dalam pasaran kawasan lingkaran Melayu ini melibatkan parti Melayu lain iaitu UMNO, Pas, Bersatu dan kini Pejuang memasuki gelanggang yang sama.
11 kerusi yang Amanah menang merupakan kerusi yang mana peratus pengundi bukan Melayu yang tinggi. Kemenangan Amanah ketika itu ialah sokongan yang siling diberikan oleh pengundi bukan Melayu kepada PH dan ditambah dengan undi protes terhadap BN serta Pas mencuri sebahagian undi Melayu menyumbang kepada kemenangan kerusi campuran ini.
Kawasan kerusi parlimen majoriti Melayu Amanah tewas. Ini menujukkan kekuatan Amanah belum mendapat kepercayaan, keyakinan kepada pengundi Melayu terhadap parti ini. Kini timbul persoalan mengenai kemampuan Amanah untuk bersaing dengan parti Melayu yang lain mewakili PH dan kebolehmenangan Amanah dalam PRU 15 nanti.
Dilemanya wujud di sini. Kawasan kerusi bercampur adalah kawasan yang secara logiknya boleh menyumbang kemenangan kepada Amanah, tetapi tugasan Amanah menggantikan Pas merupakan kerusi Parlimen majoriti Melayu. Dan mudahnya untuk faham buat masa ini, Amanah sukar untuk menang dalam kawasan kerusi Melayu ini.
Jika diukur dari sudut kemampuan, Amanah masih tertinggal berbanding kekuatan pengaruh parti Melayu yang lain. Ini belum lagi dihitung pada 52 kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRU. Kerusi ini hendak dibahagikan kepada parti mana dalam PH? Sekiranya dibahagi dua sekalipun kepada Amanah dan PKR, kerusi sebegitu adakah mampu diterjemahkan kepada angka kemenangan kepada PH jika Parlimen dibubarkan pada tahun ini?
Dengan jentera parti yang kecewa dan terluka, kekuatan tidak sepertimana dulu, tiada penumpuan strategik kawasan Parlimen sasar antara sebab Amanah kurang diyakini oleh rakan dalam Pakatan Harapan untuk memikul tanggungjawab besar ini. Oleh itu, Amanah peru bangkit segera untuk menyusun strategi bagi mengatasi kemerosotan keyakinan ini dan seterusnya memberikan ruang untuk PH memberikan cabaran di kawasan majoriti Melayu ini. Jika gagal, sukar untuk PH memperolehi pertambahan kerusi dalam pilhan raya nanti.
AMANAH hilang cengkaman
Melihat kepada kemerosotan populariti Amanah di ruangan publik dan juga bahan sebutan di kalangan rakyat, ini sesuatu yang membimbangkan. Amanah perlu keluar dari garis graf penurunan ini dengan kadar segera.
Amanah juga kelihatan tenggelam dengan lambakan isu yang ada sekarang.Rakyat hilang pekerjaan, memerlukan lanjutan moratarium, memerlukan bantuan rangsangan ekonomi, dan pelbagai lagi masalah berkait dengan kesan penutupan sektor ekonomi oleh kerajaan.
Dalam pelbagai isu yang berlaku kepada rakyat, pemimpin Amanah tidak ke hadapan menjuarai isu ini. Tidak kuat suara mereka di mediasosial mahupun media aus perdana. Dahulunya, pimpinan Amanah semasa di memegang jawatan di dalam Pas, merekalah yang selalu mengeluarkan kenyataan dan komentar berkaitan dengan isu berkait kepentingan rakyat.
Kini, nampaknya pimpinan agak tenggelam dalam memberikan respon dengan pelbagai isu yang ada. Netizen sahaja nampaknya lebih berkesan memberikan tekanan kepada kerajaan berbanding tokoh dari pembangkang. beberapa polisi kerajaan terpaksa dibuat pusingan "U" kerana desakan rakyat secara organik di media sosial. Itu lebih efektif nampaknya dari menunggu suara pembelaan datang dari pembangkang dan lebih spesifik lagi datang dari pimpinan Amanah.
Apabila pimpinan dan parti tidak responsif dan ke hadapan dalam isu yang dihadapi rakyat, mana mungkin parti ini akan popular. Tidak pelik sekiranya dapatan kajian menyatakan jenama Amanah masih lagi rendah peratusannya dalam pola pemikiran pengundi di Malaysia. Sekiranya jenama parti tidak kuat, jentera tidak memiliki kesatuan, isu rakyat juga tidak diperjuangkan, ini memberi cabaran kepada parti ini untuk meneruskan pencapaian dan meneruskan kelangsungan parti Amanah pasca-PRU15 nanti.
Perlu diingat, PRU15 kali ini adalah musim surut. Gelombang mungkin tidak wujud lagi sepertimana PRU14 yang lalu. Isu kleptokrat, pencuri, penyamun, GST mungkin sudah berlalu. Ditambah pula dengan wabak Covid 19, kekecewaan pengundi, serta banyak lagi angkubah-angkubah lain yang akan mempengaruhi pola pengundian dalam PRU akan datang yang sangat dinamik.
Bersediakah Amanah berdepan dengan pola yang sangat cair (fluid) dan dinamika politik berubah dengan cukup pantas. Selain bergantung kepada kekuatan gabungan politik, Amanah juga perlu berdiri di atas kekuatan sendiri untuk terus "survive" dalam arena politik negara. Semua yang dinyatakan ini sebenarnya melatari mengapa Amanah kini berdepan dengan ujian setiakawan dalam PH. Kini terpulang kepada Amanah untuk membetulkan keadaan, membina semula kekuatan atau jika tidak akan ditertawakan Pas yang menunggu saat jatuhnya Amanah ini dalam politik negara.
*Hisommudin Bakar merupakan Pengarah Eksekutif ILHAM Centre.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Parti Amanah Negara
#Amanah
#Parti Keadilan Rakyat
#PKR
#Pakatan Harapan
#PH
#Hisommudin Bakar
#Mohamad Sabu
#Mahathir Mohamad
#Anwar Ibrahim
#PPBM
#Khairuddin
#UMNO
#PAS
#Barisan Nasional
#DAP
#Parlimen
#ADUN
#lompat parti
#Politik Malaysia