SUPP kini bersaing dengan beberapa parti lagi untuk raih sokongan kaum Cina
Bernama
Disember 10, 2021 08:34 MYT
Disember 10, 2021 08:34 MYT
KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Dis ini akan menjadi indikasi terhadap kesinambungan sokongan kaum Cina kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dengan kemunculan lebih banyak parti lawan menyertai saingan bagi meraih sokongan kaum itu.
Pada 2016 SUPP memenangi tujuh daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, meliputi enam kawasan bandar atau kawasan majoriti Cina bercampur pelbagai kaum, serta satu kawasan majoriti kaum Dayak.
Kali ini parti yang menjadi komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu akan bertanding di 18 kerusi, dengan 15 daripadanya memiliki majoriti kaum Cina dan tiga lagi kawasan majoriti Dayak.
Selain parti DAP yang menjadi 'lawan' tradisinya, kini ia juga berhadapan dengan beberapa pencabar baharu seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) untuk bersaing bagi mendapatkan sokongan kaum Cina.
Yang pasti PSB, dan sekali lagi DAP, akan menampilkan cabaran getir terhadap SUPP yang diterajui oleh pakar kardiologi Dr Sim Kui Hian, ahli politik generasi kedua yang merupakan anak kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Sim Kheng Hong.
"SUPP masih berhadapan dengan DAP pada pilihan raya kali ini, tapi kini wujud satu lagi penentangnya yakni PSB. Sejauh mana SUPP dapat meraih sokongan kini bukan hanya dalam persaingan dengan DAP, tapi juga PSB. Saya difahamkan walaupun PSB boleh dikatakan baharu, namun ia boleh menampilkan cabaran yang getir, namun kita belum dapat pastikan sejauh mana kekuatannya," kada penganalisis politik Oh Ei Sun, Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs.
SUPP merupakan entiti politik tertua Sarawak, dibangunkan pada tahun 1959, cukup berpengaruh dalam penentuan dasar-dasar tempatan sebelum ini. Bagaimanapun parti itu menerima tamparan hebat pada pilihan raya negeri 2011 apabila presiden parti Tan Sri Dr George Chan ditewaskan oleh pendatang baharu DAP di DUN Piasau, di samping menyaksikan kekalahan SUPP di 12 kerusi DUN di kawasan bandar.
"SUPP masih belum kembali ke zaman kegemilangan seperti sebelumnya, namun pada dasarnya Dr Sim telah dapat memulihkan sedikit sebanyak imejnya. Ramai menganggap beliau sebagai seseorang yang prihatin, rajin, di samping menerima beliau sebagai tokoh yang 'bersih', dan tindakan beliau meletakkan ramai buka baharu pada PRN adalah petanda yang baik," kata Oh.
Jangkaan awal beliau adalah SUPP sekurang-kurangnya akan mengekalkan penguasaan di tujuh kerusi DUN yang dimilikinya pada PRN 2016, termasuk kerusi DUN Batu Kawah yang akan dipertahankan oleh penyandangnya, Dr Sim.
Pakar politik Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung pula percaya bahawa SUPP lebih kuat dalam pertandingan kali ini di bawah kepimpinan Dr Sim, dan akan mengulangi kejayaan di Batu Kawah.
"Beliau tidak memiliki persona seorang 'tauke' dan nampak 'kurang bermain politik' - itu identiti istimewanya yang tidak dimiliki ramai," katanya semasa merujuk pemimpin parti SUPP itu yang sering dilihat mengenakan baju berwarna kuning (warna parti), di luar tugas sebagai menteri kabinet negeri.
Di bawah kepimpinannya SUPP mempertaruhkan beberapa calon baharu pada tahun 2011, dan mereka akan diturunkan sekali lagi kali ini.
"Penyandang terutamanya telah melaksanakan tanggungjawab yang baik dalam menjaga kawasan masing-masing, SUPP akan peroleh kejayaan baik pada pilihan raya ini," kata Lee, dengan merujuk kepada kejayaan setiausaha agung parti Datuk Sabastian Ting yang berjaya menawan DUN Piasau pada tahun 2016, Datuk Ding Kuong Hing di Meradong dan Datuk Seri Huang Tiong Sii di Repok.
Ada juga 'cakap-cakap' SUPP dijangka memenangi sekurang-kurangnya 12 kerusi DUN atau dua pertiga daripada 18 kerusi DUN yang ditandingi.
Satu daripadanya adalah kerusi panas DUN Padungan, yang menyaksikan SUPP menampilkan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng untuk berhadapan dengan pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen. Ia antara pertembungan yang menarik perhatian ramai dalam PRN ini.
SUPP mengekalkan penyandang di tujuh DUN yang terdiri daripada -- Batu Kawah, Senadin, Piasau, Meradong, Repok, Batu Kitang dan Simanggang. Selebihnya kerusi yang akan ditandingi ialah Padungan, Batu Lintang, Pending, Mambong, Engkilili, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Tanjung Batu and Pujut.
-- BERNAMA