Sungai Kandis dijangka kekal milik PKR - Penganalisis
Sinar Harian
Julai 7, 2018 12:46 MYT
Julai 7, 2018 12:46 MYT
KERUSI N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang terletak di bawah Parlimen Kota Raja kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma, Isnin lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, Selasa lalu.
Pada PRU lalu, Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
Kemenangan Shuhaimi menyumbang kemenangan besar buat Pakatan Harapan (Harapan) di Selangor yang berjaya meraih 51 DUN, BN empat kerusi manakala Pas satu kerusi.
Menteri Besar yang juga Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari mengakui mempunyai beberapa nama yang sesuai diangkat sebagai calon dalam bagi PRK DUN Sungai Kandis.
Menurutnya, beberapa nama calon akan dicadangkan kepada pucuk pimpinan PKR untuk dipilih bagi mengisi kekosongan itu dijangka minggu depan.
“Di dalam kepala saya ada (nama calon), cuma perlu sampai kepada kepimpinan pusat," beliau dipetik sebagai berkata.
Cadang gabungan pembangkang
Sementara Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mencadangkan parti Islam itu membentuk kerjasama dengan UMNO bagi menguatkan pembangkang di negeri itu.
“Secara peribadi saya mengesyorkan supaya Pas dan UMNO membentuk kerjasama. Lebih baik jika berlaku pertandingan satu lawan satu bagi kerusi ini.
“Dalam konteks di Selangor, Harapan sangat kuat dan bagi memastikan proses demokrasi dapat berjalan dengan baik, adalah penting untuk mempunyai pembangkang yang kuat di Selangor,” katanya dipetik dari laporan sebuah akhbar tempatan.
UMNO belum ada calon
Sementara itu, UMNO Selangor belum memutuskan calon bagi menandingi kerusi itu.
“No spesific time (tidak ditetapkan tarikh) dan tiada perbincangan lagi sekiranya calon PRU14 lalu akan dikekalkan atau calon baharu akan diletakkan,” katanya.
“Terserah kepada UMNO Pusat (untuk putuskan calon sesuai bila nama sudah diserahkan nanti),” demikian mesej ringkas Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan kepada Sinar Harian.
Persempadanan semula sebelum PRU14 lalu menyaksikan kerusi DUN Seri Andalas diganti kepada DUN Sungai Kandis dimenangi oleh Shuhaimi yang sebelum ini menyandang kerusi ADUN Sri Muda selama dua penggal sejak (2008-2017).
Mengikut rekod, DUN Seri Andalas sememangnya kubu kuat PKR yang sebelum ini disandang Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.
Kerusi tersebut tidak pertahankan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu selepas perubahan komposisi pengundi susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya menyaksikan jumlah pengundi Melayu menjadi 78 peratus berbanding 46 peratus sebelumnya.
Kekal milik PKR
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, kerusi tersebut dijangka kekal milik PKR berdasarkan keputusan majoriti besar semasa PRU lalu.
Tambahnya, peluang pembangkang menang kerusi tersebut tipis meskipun melalui gabungan antara Pas dan UMNO.
“Saya tak rasa akan ada gabungan antara Pas dan BN. Kalau ada gabungan pun agak sukar untuk menawan kerusi PKR ini.
“PKR menang majoriti 12,450 undi masa PRU14 lalu. Kalau gabung Pas dan BN, masih tak dapat kalahkan PKR masa PRU14 lalu.
“Pas tak mahu bergabung dengan UMNO di kala UMNO terpalit dengan skandal. Pas juga cuba dikaitkan dengan skandal 1MDB. Jadi lebih baik Pas tak bekerjasama sekarang atau mereka akan mengiakan tuduhan yang dilemparkan ramai pihak khususnya Harapan kepada mereka,” katanya.
Menurut Azizuddin lagi, pentadbiran pusat sama sekali tidak mempengaruhi undi rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada Harapan di Selangor.
“Harapan bijak mengawal rakyat meskipun belum sepenuhnya memenuhi jam 100 hari Harapan. Ini gimik politik saja, BN dulu pun banyak tak tunai janji.
“Tapi Harapan ada jelaskan kalau tak tunai sebab apa. Cuma ini kerusi DUN, pengundi akan lihat pencapaian kerajaan Selangor yang cemerlang,” katanya.
Jelas Azizuddin, yang menjadi kebimbangan Harapan pada PRK DUN Sungai Kandis kali ini majoriti kemenangan yang berkurangan sekiranya pengundi semasa PRU14 lalu tidak pulang mengundi.
#Amirudin Shari
#Azizuddin Mohd Sani
#Barisan Nasional
#calon
#majoriti
#Mat Shuhaimi Shafiei
#meninggal dunia
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#pilihan raya kecil
#PKR
#PRU14
#Roslan Shahir Mohd Shahir
#sungai kandis
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#UMNO
#undi