Sultan Sharafuddin titah mahu Kerajaan Negeri Selangor selesaikan isu banjir
Fareez Azman
Ogos 21, 2023 16:36 MYT
Ogos 21, 2023 16:36 MYT
KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor yang baharu ditubuhkan agar dapat mengatasi masalah banjir di negeri itu.
Titah baginda, penekanan rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang perlu segera dilaksanakan bagi menyelesaikan isu melanda rakyat Selangor.
"Kerajaan yang dibentuk hari ini perlu segera mengatasi segala kepincangan yang ada dalam kehidupan rakyat di Negeri Selangor ini khususnya dari segi infrastruktur dan pembangunan.
"Adalah menjadi keutamaan beta agar pihak kerajaan menyelesaikan segera masalah berkaitan kehidupan harian rakyat.
"Di sini, beta ingin memberi penekanan kepada masalah banjir yang sering melanda negeri Selangor yang telah menyusahkan kehidupan rakyat Beta. Rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan.
"Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi yang pesat serta status negeri kaya serta kejayaan mencatat KDNK tertinggi di Malaysia seandainya masalah keperluan asas rakyat pun tidak mampu diuruskan dengan baik," titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco) di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang pada Isnin.
Malah Negeri Selangor titah Sultan Sharafuddin lagi, telah mula ketinggalan dari sudut pelaburan dan nilai eksport berbanding beberapa negeri lain.
Justeru, pemimpin di negeri itu yang dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu titah baginda perlu mengambil satu tindakan segera bagi mengembalikan reputasi Negeri Selangor.
"Sedarkah kita bahawa sejak kebelakangan ini, negeri Selangor telah mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan jika dibandingkan dengan negeri Pulau Pinang, Johor malah negeri Sarawak.
"Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya. Ahli-ahli Yang Berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini, satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi negeri Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.
"Beta menaruh harapan yang tinggi untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan," titah baginda lagi.