Sukar jalin kerjasama dengan Pas-IKATAN - Guan Eng

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 19, 2016 15:01 MYT
Jelas Guan Eng, sukar untuk PH menjalin kerjasama kerana masih kurang yakin dengan halatuju sebenar mereka. - Foto Bernama
Pakatan Harapan (PH) tidak berhasrat untuk menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan blok pembangkang baharu yang diketuai Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata adalah sukar untuk PH menjalin kerjasama berkenaan kerana masih kurang yakin dengan halatuju sebenar mereka.
"Saya rasa susah untuk (jalin kerjasama) dengan Pas dan Ikatan kerana mereka telah tunjuk mirip kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Sekarang boleh lihat kenyataan tidak konsisten, hari ini cakap lain, esok cakap lain. Saya rasa bila asas kerjasama tidak wujud iaitu kepercayaan yang penting.
"Saya rasa sukar bila tidak ada kepercayaan di antara satu sama lain," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Katanya kerjasama politik memerlukan asas persefahaman yang kukuh antara satu sama lain.
Namun apa yang berlaku antara Pas dan DAP sebelum ini jelas menunjukkan DAP sudah hilang kepercayaan kepada bekas sekutunya itu.
Pada Rabu, PAS mengumumkan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) bagi membentuk blok politik ketiga.
Ia bagi mengimbangi kuasa sedia ada serta menjadi penasihat kepada kerajaan terutama dalam memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan perlembagaan.
#DAP #Ikatan #kerjasama blok baharu pembangkang #Lim Guan Eng #PAS
;