Sue Megat Deraman tawar diri bertanding jawatan Exco Wanita UMNO

Irfan Faruqi
Februari 16, 2023 17:52 MYT
Sue Megat Deraman atau nama sebenarnya, Nik Suryani Megat Deraman menyerahkan borang pencalonan bagi Pemilihan UMNO 2023 di ibu pejabat parti pada hari Isnin lepas. - Gambar Facebook/Sue Megat Deraman
Kuala Lumpur: Bekas penyampai berita TV3, Sue Megat Deraman, menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan parti bulan depan.
Sue atau nama sebenarnya, Nik Suryani Megat Deraman yang juga seorang wartawan mengumumkan hasratnya itu dalam hantaran di akaun Facebook peribadinya.
Beliau menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat parti di Menara Dato’ Onn, di sini, pada hari Isnin lepas.
"Hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan, pengorbanan dan khidmat bakti Wanita UMNO pada negara sejak sebelum merdeka, selain berkongsi pengalaman selaku pengamal media dan industri kreatif yang telah berkecimpung hampir 20 tahun," kata Sue dalam hantaran tersebut.
BACA: Anak Najib, Nooryana Najwa bakal bertanding Exco Puteri UMNO - Puad Zarkashi
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac depan, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan berlangsung pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
#Pemilihan UMNO #Wanita UMNO #Sue Megat Deraman #Penyampai berita
;