Sudah tiba masa institusi mahkamah syariah dimartabatkan

Rahimah Abdullah
November 30, 2016 16:01 MYT
Wanita UMNO juga katanya akan menubuhkan satu jawatankuasa pemandu sebagai tindakan susulan supaya resolusi sidang meja bulat berkenaan dapat diperjuangkan. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, sudah tiba masa institusi mahkamah syariah dimartabatkan, setaraf dengan mahkamah sivil.
Susulan itu, Wanita UMNO menggesa lima hierarki mahkamah syariah yang telah diluluskan majlis kebangsaan hal ehwal agama islam dipercepatkan.
"Melalui resolusi itu, cadangan supaya undang-undang berkaitan dengan perwarisan orang islam dipinda, untuk mengkhususkan isu perwarisan harta pusaka orang islam, diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah, dan satu peruntukan penalti di dalam undang-undang jenayah syariah bagi sesiapa yang engkar perintah itu," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO sempena Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO 2016 di PWTC di sini. hari ini.
BACA: LAPOR LANGSUNG Perhimpunan Agung UMNO 2016 (Hari Kedua)
Tambahnya, beberapa resolusi juga telah dipersetujui untuk memperkasakan lagi mahkamah syariah, antaranya menambah jumlah hakim wanita, bailiff, pembantu mahkamah dan peguam di jabatan bantuan guaman.
Selain itu, perjuangan untuk penyelarasan penerimaan masuk peguam syarie, masih diperjuangkan dengan cadangan penubuhan majlis peguam syarie yang di bawah naungan dan ditadbir urus oleh majlis raja-raja, bagi memudahkan urusan amalan guaman syarie di negeri-negeri.
"Saya berharap resolusi itu dapat memberikan penambahbaikan kepada penguatkuasaan dan perlaksanaan perundangan serta memperkasakan sistem mahkamah dan jabatan syariah di Malaysia," katanya lagi.
Wanita UMNO juga katanya akan menubuhkan satu jawatankuasa pemandu sebagai tindakan susulan supaya resolusi sidang meja bulat berkenaan dapat diperjuangkan.
#mahkamah syaria #Shahrizat Abdul Jalil #UMNO
;