'Sudah sampai masa Zahid Hamidi lepaskan jawatan Presiden UMNO' - Tajuddin

Fareez Azman
Jun 27, 2022 17:43 MYT
Tajuddin berkata Ahmad Zahid sudah menjadi liabiliti kepada UMNO dan akan membawa kepada kekalahan parti itu. - Gambar fail
PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melepaskan jawatan presiden secara terhormat demi kepentingan parti itu.
Tajuddin berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah menjadi liabiliti kepada UMNO dan akan membawa kepada kekalahan parti itu.
"Kesimpulannya, untuk kepentingan parti, sudah sampai masa Ahmad Zahid dengan cara baik melepaskan jawatan presiden parti, bagilah peluang kepada orang lain.
"Ahmad Zahid sudah menjadi liabiliti kepada UMNO, tidak boleh mengepalai UMNO dalam pilihan raya akan datang, kita akan kalah, tanyalah orang awam, orang profesional," katanya.
Tajuddin berkata demikian dalam sidang media khas di pejabatnya di sini, pada Isnin.
UMNO | Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan MKT
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengumumkan Tajuddin digugurkan daripada jawatan ahli MKT UMNO.
Ahmad bagaimanapun enggan mengulas punca pengguguran berkenaan dan hanya menzahirkan penghargaan atas komitmen Ahli Parlimen Pasir Salak itu selama ini.
Bagaimanapun pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran tindakan yang dikenakan terhadap Tajuddin itu disebabkan kesalahan yang dilakukannya.
#Tajuddin Abdul Rahman #Ahmad Zahid Hamidi #Presiden UMNO #letak jawatan
;