"Sudah sampai masa ketepi perbezaan pendapat" - Abdul Rahman

Ruzaini Zulkepli
September 1, 2020 17:26 MYT
Menurut Abdul Rahman, perbezaan pendapat dengan mana-mana pemimpin boleh diketepikan pada masa ini. - Gambar SINAR HARIAN
Perbezaan pendapat dan penerapan idealogi autonomi untuk UMNO Sabah dilihat mampu menaikkan semangat dalam persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan episod 'persengketaan' yang berlaku baru-baru ini tidak akan menghilangkan fokus itu.
Merujuk laporan media mengenai salam perdamaian beliau dengan Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini, Abdul Rahman berkata, sudah sampai masanya untuk mengorak langkah dan mengetepikan perbezaan pendapat.
Menurut beliau, apa yang penting ketika ini ialah kemenangan BN dan rakan sekutu dalam memenangi hati rakyat pada PRN Sabah 26 September ini.
"Kita terus bekerjasama kerana ini bukan tentang soal saya dengan Bung (Moktar), ini soal untuk memastikan Barisan Nasional menang dan menjadi pilihan rakyat.
"Rakyat mahukan Barisan Nasional, perbezaan kami pandangan bukannya dari segi soal perjuangan dalam UMNO itu jelas, saya masih lagi ahli Majlis Tertinggi Umno dan saya Ketua UMNO Bahagian dan saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Sabah ini.
"Perbezaan pandangan antara saya dengan beberapa pemimpin soal tentang itu seperti mana saya katakan tadi boleh kita ketepikan dahulu dan asingkan buat masa ini," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.
Jelas Abdul Rahman lagi, beliau akan terus memberi fokus selepas ini dalam memastikan BN dan rakan sekutu untuk mengembeleng tenaga menghadapi pihak lawan.
" Kita tidak ada masa untuk kalau memikirkan soal perbezaan pandangan ini, buat masa ini selepas ini Insya-Allah ada beberapa perkara yang saya sebut di dalam sidang akhbar saya tempoh hari berkenaan dengan keutamaan memberikan autonomi kepada UMNO Sabah itu tetap akan menjadi perjuangan saya," katanya lagi.
BACA: Sengketa Rahman Dahlan-Bung Moktar: Lupakan, kita 'move on' - Bung Moktar
Pagi ini, di Sepanggar, Abdul Rahman dan Bung Moktar telah berdamai dan saling memaafkan antara satu sama lain.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin negeri itu turut disaksikan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid dalam ciapan di Twitter berkata, tindakan berdamai dan saling memaafkan antara Bung dan Abdul Rahman adalah contoh terbaik.
Sebelum ini, Abdul Rahman bersama sekumpulan Ketua Bahagian UMNO di Sabah mengemukakan protes terhadap pelantikkan Bung Moktar sebagai Pengarah Jentera BN bagi menghadapi PRN Sabah.
#Abdul Rahman Dahlan #Barisan Nasional #Bung Moktar #persengketaan #pilihan raya negeri #Sabah #UMNO
;