Sudah diduga Pakatan Rakyat akhirnya berkubur - Syed Ali

Astro Awani
Jun 16, 2015 23:46 MYT
SYED ALI: Sudah diduga Pakatan Rakyat akhirnya berkubur - Gambar fail
"Sudah diduga, Pakatan Rakyat (PR) akan hancur dan berkubur. DAP dengan PAS selama ini tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain."
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alahabshee berkata demikian ketika mengulas pengumuman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa pakatan itu sudah berakhir pada Selasa.
Dengan berkuburnya PR, beliau antara pemimpin UMNO paling lantang mengecam PR, yakin kecelaruan politik di negara ini akan kembali pulih.
"Saya berharap rakyat akan sedar betapa PR hanya sebuah pakatan rapuh yang bertunjang kepada nafsu politik haloba untuk berkuasa," tegasnya dalam cacatan terbaharu di dalam blognya.
Katanya lagi, keputusan membubarkan PR membuktikan pakatan pembangkang tidak mampu menyaingi kekuatan Barisan Nasional (BN).
Saya berharap rakyat akan sedar betapa PR hanya sebuah pakatan rapuh yang bertunjang kepada nafsu politik haloba untuk berkuasa
Malah tegas beliau, selama ini PR hanya membohongi rakyat bahawa pakatan tersebut mempunyai kesepakatan, kekuatan dan mampu merampas Putrajaya.
"Mereka bergabung untuk mencari kuasa politik, tetapi belum lagi berkuasa sepenuhnya, akhirnya mengakui mereka bercakaran sesama sendiri sehingga terpaksa dibubarkan," katanya.
Kesan daripada pembubaran PR hari ini tambah Syed Ali, membuktikan juga hanya BN di mana UMNO sebagai tonggak mampu membela nasib rakyat.
"UMNO yang menjadi tulang belakang BN merupakan gabungan berasaskan kepada kepercayaan, kesepakatan dan keharmonian," ujarnya.
BACA: Pakatan Rakyat sudah berkubur - Guan Eng
Semalam, DAP mengumumkan keputusuan Muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengann DAP membawa kepada pembubaran PR.
Lim Guan Eng ketika mengumumkan keputusan tersebut menjelaskan PR tidak lagi wujud.
PR ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas tsunami politik pembangkang yang melanda Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
BACA: 'Ada pihak putar belit keputusan muktamar tentang hubungan PAS-DAP'
Kata Syed Ali lagi, tindakan PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP, parti rasis itu merupakan tindakan bijak yang perlu dialu-alukan.
"Selama ini PAS dihina dan dipijak oleh DAP iaitu parti perkauman itu menentang cadangan pelaksanaan hukum hudud yang di bawa oleh PAS," katanya.
BACA: Khairy gesa kerajaan Selangor dibubar susulan 'berkuburnya' Pakatan Rakyat
Mengulas kedudukan kerajaan pembangkang di Selangor yang dikongsi bersama DAP, PKR dan PAS, Syed Ali berkata PAS memiliki keutamaan untuk menentukan masa depan Menteri Besar, Azmin Ali.
Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Azmin kini hanya mengharapkan belas ihsan daripada PAS untuk kekal sebagai Menteri Besar.
"Sebenarnya, sudah tidak ada lagi kerajaan PR di Selangor kerana hari ini secara rasmi telah dibubarkan, ini bermakna mereka (pembangkang) perlu melihat semula kedudukan Menteri Besar," tegasnya.
Mengenai masa depan PAS setelah meninggalkan sekutu politknya, DAP dan PKR, beliau berkata terpulang kepada parti itu untuk menentukan haluannya.
"Bagaimanapun saya yakin kepimpinan baru PAS lebih positif ke arah perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam termasuk bekerjasama dengan UMNO," ujarnya.
#DAP #PAS #PKR #Selangor #Syed Ali