Subsidi pukal seperti yang dicadangkan Rafizi beri ruang ketirisan - Rizal Mansor
Astro Awani
November 10, 2017 20:00 MYT
November 10, 2017 20:00 MYT
Mewujudkan subsidi pukal seperti yang dicadang oleh pemimpin pembangkang merupakan satu langkah ke belakang, kata Pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor.
Malah kata Rizal, subsidi seperti yang dicadangkan itu mempunyai ruang ketirisan yang besar apabila ia turut dinikmati oleh mereka yang lebih dari mampu.
Katanya, pendekatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak lebih berminat untuk memberikan bantuan terus kepada mereka yang lebih layak dan berbelanja ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat untuk masa hadapan.
"Sebagai contoh, sila rujuk kembali Bajet 2018 - untuk pendidikan sahaja, kerajaan telah mengagihkan baucer buku sebanyak RM250 untuk seorang pelajar dan program ini boleh membantu kira-kira 1.2 juta pelajar.
"RM250 yang diberikan ini adalah bersamaan dengan subsidi 20 sen untuk 1,250 liter petrol," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau lagi, Pakatan Harapan menerusi bajet alternatif yang dibentangkan baru-baru ini turut menolak subsidi pukal dengan menghadkan subsidi kepada motorsikal dan kereta di bawah 1,000 cc.
"Sebelum menang, pakatan pembangkang boleh janjikan bulan dan bintang kononnya nak jimatkan RM20 bilion dalam perbelanjaan.
Bagaimana nak jimat RM20 bilion apabila baru sahaja memerintah Selangor, PKR dah lahirkan ramai 'jutawan' segera.
"Jika dapat Putrajaya, entah berapa ribu 'jutawan' segera akan dilahirkan," katanya lagi.
Baru-baru ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mencadangkan kepada kerajaan agar memberikan subsidi 20 sen bagi setiap liter petrol yang dibeli untuk mengurangkan beban kos sara hidup ditanggung rakyat negara ini.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata subsidi berkenaan boleh diberi kerajaan pada Disember tahun ini dan Januari tahun depan.
#Bajet 2018
#Barisan Nasional
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#petrol
#Rafizi Ramli
#Rizal Mansor
#subsidi