#SuaraMalaysia: Majoriti sudah membaca manifesto parti politik
Astro Awani
November 8, 2022 22:00 MYT
November 8, 2022 22:00 MYT
SELEPAS semua parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melancarkan manifesto masing-masing, rakyat Malaysia khususnya pengundi pasti sudah melihat dan mengkaji tawaran yang dikemukakan.
Astro AWANI yang melakukan kaji selidik setiap hari mengenai kecenderungan, serta isu-isu berkaitan pilihan raya di pelbagai platform kami, mendapatkan reaksi orang ramai mengenai manifesto-manifesto terbabit di pelbagai platform kami.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Anda dah baca manifesto dan tawaran parti politik?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 10 malam Selasa.
Daripada 2,177 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati majoriti sudah membaca manifesto parti politik.
Sebanyak 53 peratus memilih ya, diikuti 32 peratus tidak, manakala 15 peratus tidak peduli.
Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.