#SuaraMalaysia: Majoriti setuju PM lantik tokoh teknokrat dalam kabinet

Astro Awani
November 28, 2022 18:37 MYT
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan. - Gambar Astro AWANI
RAMAI menantikan barisan kabinet kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Selain ahli-ahli parlimen, ada juga yang berpendapat terdapat ramai tokoh-tokoh lain yang wajar dipertimbangkan untuk dilantik sebagai menteri.
Kami telah bertanyakan kepada pembaca dan penonton Astro AWANI mengenai kecenderungan, serta isu-isu berkaitan pilihan raya di pelbagai platform kami.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Setuju PM lantik tokoh teknokrat dalam kabinet?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Ahad.
Daripada 2,396 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, majoriti bersetuju Perdana Menteri melantik tokoh teknokrat dalam kabinet.
Sebanyak 82 peratus memilih setuju, diikuti 11 peratus tidak setuju, manakala 7 peratus lagi tidak pasti.
Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #kabinet #teknokrat
;