#SuaraMalaysia: Esok nak undi siapa? 93 peratus sudah buat keputusan

Astro Awani
November 18, 2022 18:41 MYT
Daripada 1,960 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, majoriti menyatakan mereka sudah membuat keputusan. - Gambar/ Astro AWANI.
KURANG 24 jam untuk rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka di peti undi, dan debarannya semakin terasa terutama bagi semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kami telah bertanyakan kepada pembaca dan penonton Astro AWANI mengenai kecenderungan, serta isu-isu berkaitan pilihan raya di pelbagai platform kami.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Esok mengundi, anda sudah buat keputusan?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Jumaat.
Daripada 1,960 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, majoriti menyatakan mereka sudah membuat keputusan.
Sebanyak 93 peratus memilih ya, diikuti empat belum pasti, manakala tiga peratus tidak mengundi.
Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.
#PRU15 #SuaraMalaysia #hari pengundian #keputusan rakyat
;