#SuaraMalaysia: Antara tiga kerusi panas, 49 peratus pilih Tambun
Astro Awani
November 15, 2022 19:13 MYT
November 15, 2022 19:13 MYT
LAGI empat hari berbaki sebelum pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung dan pelbagai tawaran telah dikemukakan oleh calon kepada pengundi di kawasan masing-masing, baik Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tidak dapat dinafikan tiga kawasan Parlimen iaitu Tambun, Sungai Buloh dan Gombak dianggap sebagai kerusi panas dan sentiasa menjadi perhatian kerana membabitkan calon popular, antaranya masing-masing Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Astro AWANI menjalankan kaji selidik di semua platform kami sejak jam 12 tengah malam Isnin dengan bertanyakan soalan - Antara 3 kerusi panas PRU15 ini, apa pilihan anda?.
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Selasa.
Daripada 2,481 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 49 peratus berkata Tambun adalah kerusi panas pilihan mereka, 29 peratus memilih Sungai Buloh dan 22 peratus memilih Gombak.
Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.