#SuaraMalaysia: 90% responden berpendapat tidak wajar Ahli Parlimen berdepan kes mahkamah sertai kabinet
Faida Rahim
November 29, 2022 18:28 MYT
November 29, 2022 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Persoalan siapa yang bakal menjadi berada dalam senarai jemaah Menteri di bawah payung kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi belum terjawab.
Terdahulu, Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pernah menduduki tempat Menteri Kabinet dan teka-teki beberapa nama yang sebelum ini tidak bergelar Menteri, namun adakah akan ada nama baharu bakal mengemudi jawatan utama dalam kerajaan.
Persoalannya, adakah wajar sekiranya beberapa ahli Parlimen yang kini berdepan kes mahkamah menyertai senarai kabinet PM Anwar?
Sebelum ini, penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berpendapat Ahli Parlimen yang terlibat dalam kes salah laku tidak boleh menyertai Kabinet jika kerajaan benar-benar serius untuk tidak berkompromi dalam isu integriti.
Menerusi tinjauan pungutan suara di laman sesawang Astro AWANI, 90% pengundi daripada 6,118 responden berpendapat tidak wajar untuk meletakkan mana-mana Ahli Parlimen yang terkait dengan kes mahkamah untuk menyertai senarai Kabinet PM Anwar.
Manakala lapan peratus beranggapan ia suatu hal yang wajar dan dua peratus lagi tidak peduli.
Beberapa penganalisis yang ditemu bual Astro AWANI sebelum ini, turut menyuarakan pendapat walaupun seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, fokus Ahli Parlimen itu berkemungkinan tertumpu kepada kes mahkamah dan mustahil untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.