#SuaraMalaysia: 90.2% responden percaya mereka 'Bos' dalam PRU15
Firdaus Azil
Oktober 17, 2022 19:16 MYT
Oktober 17, 2022 19:16 MYT
KUALA LUMPUR: Sehingga pukul 7 malam tadi, sejumlah 90.2 peratus daripada keseluruhan responden Astro AWANI percaya mereka adalah ‘Bos’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Daripada keseluruhan 1,807 responden, 1,600 menjawab 'ya', 5.0 peratus atau 90 responden menjawab 'tidak', manakala 4.8 peratus atau 87 responden lagi menjawab mereka 'tidak pasti'.
Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15 yang bakal berlangsung, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober.
Untuk hari ini (Oktober 17, 2022), saluran berita paling dipercayai ini mengajukan soalan yang berbunyi “Adakah anda tahu anda Bos pada PRU ini?”
Setiap hari, soalan yang berlainan akan diajukan kepada anda menerusi semua platform, segmen dan program Astro AWANI, bagi membolehkan kami memahami sentimen dan pandangan anda sepanjang musim kempen PRU15.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 pagi, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Astro AWANI turut menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang soalan yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat? Tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera di kaca televisyen untuk mengakses soalan yang disediakan.
Dengan mengimbas kod QR itu, penonton akan dibawa terus ke undi.astroawani.com bagi membolehkan mereka menjawab soalan baharu pada hari berkenaan.
Soalan yang sama juga dikongsi media sosial dan kekal di semua platform Astro AWANI (YouTube, Twitter, Instagram dan Telegram) selama 24 jam sebelum data pungutan suara diumumkan di platform Digital dan Saluran 501 Astro AWANI.
Bagi setiap soalan yang diajukan menerusi kaji selidik ini akan disertakan dengan analisis pakar politik, wakil-wakil atau pimpinan parti yang bertanding, serta pandangan masyarakat umum, pada hari berikutnya.