Suara mirip Anwar: "Itu bukan suami saya" - Wan Azizah
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 2, 2018 20:20 MYT
Ogos 2, 2018 20:20 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan beberapa klip audio tular yang mirip suara suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa Ketua Umum PKR yang mendengar audio itu turut menafikannya.
“Itu memang tidak betul. Itu bukan dia. Tak. Sah, itu bukan (suara) suami saya,” katanya ketika ditemui media selepas hadir Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen hari ini.
Sementara itu, dalam reaksi segera Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang hadir sama mesyuarat itu tidak tahu menahu berhubung perkara itu.
“Tak dengar, tak tengok, tak tahu,” katanya ringkas.
Menerusi audio tersebut, suara mirip Anwar itu kononnya mengakui meminta Rafizi Ramli mencabar Timbalan Presiden PKR itu.
“Sebab itu saya suruh Rafizi lawan Azmin sebab Azmin nak jadi barua kepada Mahathir,” menurut suara yang menyerupai Anwar itu.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PKR seperti Rafizi dan Fahmi Fadzil menafikan audio tular itu.
Klip audio itu turut berkait keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai Khazanah Nasional Berhad susulan peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan itu pada 26 Julai lalu.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Khazanah
#Mahathir Mohamad
#menteri
#Pakatan Harapan
#presiden
#Rafizi Ramli
#Timbalan Perdana Menteri
#Wan Azizah
#Wan Azizah Wan Ismail