Suara anak muda dalam UMNO disekat? - Syed Mohd

Astro Awani
Januari 25, 2023 12:30 MYT
Syed Mohd menegaskan sekiranya benar Lembaga Disiplin UMNO mahu menyekat kebebasannya sebagai ahli parti, maka benarlah 'demokrasi dalam UMNO sudah mati'. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin muda UMNO mempersoalkan benarkah suara anak muda dalam parti itu akan terus disekat dan diugut akan pecat atau digantung hanya kerana mengkritik pemimpin parti.
Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Syed Nasir dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa, dia diminta supaya berhati-hati kerana ada pihak sedang memproses dan giat melaporkan semua kritikannya kepada Lembaga Disiplin UMNO Malaysia.
Jelasnya, dia hanya orang muda biasa dan ahli Pemuda UMNO yang tiada jawatan di peringkat cawangan mahupun bahagian, yang mahu mengeluarkan pandangan berkaitan survival parti.
“Apatah lagi, Presiden UMNO sudah meletakkan komitmen bahawa beliau menerima dengan hati terbuka terhadap apa jua kritikan radikal dalam kalangan ahli terutamanya orang muda.
“Rakyat Malaysia akan menilai tindakan-tindakan pemimpin Pemuda sebegini kerana terlalu menjaga diri mereka demi bertanding pada pemilihan akan datang," katanya.
Menurutnya, ada ahli yang takut berdepan penggantungan akibat berani bersuara menyampaikan pandangan bertentangan.
BACA: Aktivis Pemuda UMNO gesa RoS bebas daripada campur tangan mana-mana pihak
Namun, Syed Mohd menegaskan, sekiranya benar Lembaga Disiplin UMNO mahu menyekat kebebasannya sebagai ahli parti melalui laporan yang dibuat, maka benarlah "demokrasi dalam UMNO sudah mati".
Dia sebelum ini mengeluarkan kenyataan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia menyiasat dengan adil laporan dua ahli UMNO yang mendakwa berlaku pelanggaran perlembagaan parti.
Laporan itu dibuat berikutan usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Ujarnya, RoS perlu bebas daripada campur tangan mana-mana pihak demi keadilan dan demokrasi di negara ini.
#Syed Mohd Syed Nasir #langgar perlembagaan parti #Lembaga Disiplin UMNO #demokrasi
;