Suara ahli pun tidak dilayan, bagaimana PSB mahu bantu rakyat - James Masing

Astro Awani
Oktober 20, 2020 06:44 MYT
James Masing mempersoal kemampuan PSB untuk melaksana segala janjinya kepada rakyat terutamanya untuk membangunkan kawasan luar bandar. - Foto BERNAMA
SIBU: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing mempersoalkan kemampuan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menunaikan janjinya kepada rakyat khususnya untuk membangunkan kawasan luar bandar.
Ia susulan dakwaan parti itu gagal mendengar isi hati ahlinya sendiri sehingga membawa kepada tindakan keluar parti oleh lebih 200 bekas ahlinya termasuk bekas Pengerusi Protem PSB Ngemah, Susan Clement Ingun, pada Isnin.
Soal James, jika janji kepada ahli parti sendiri untuk bersedia mendengar pandangan gagal ditunaikan, nasib sama mungkin terjadi kepada rakyat di luar bandar yang dijanjikan pembangunan oleh parti itu.
"Masalah dengan PSB adalah banyak perkara yang hendak dilaksanakan tetapi tidak bersungguh-sungguh.
"PSB tidak dapat dijadikan sebagai parti untuk membangunkan kawasan luar bandar," jelas James.
Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pengisytiharan keluar PSB di sini, pada Isnin.
Untuk rekod PSB sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu atau UPP yang merupakan pecahan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). PSB diterajui bekas Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh selaku presiden parti
BACA: Hilang keyakinan kepada pemimpin, lebih 200 ahli PSB keluar parti
#Sarawak #Abang Johari Tun Openg #Ketua Menteri #James Jemut Masing #PSB #PRS #presiden #rakyat #menteri #UPP