Streram nafi PH cuba bunuh karakter Tok Mat
Rahimah Abdullah
April 10, 2019 15:09 MYT
April 10, 2019 15:09 MYT
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S.Streram menafikan parti itu cuba membunuh karakter lawannya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau.
Malah katanya, dakwaan itu sama sekali tidak berasas.
“Semalam dia cakap ini (dakwaan) budak bodoh. Dia persoal saya. Jadi dia mesti jelaskan kerana kita tidak bangkitkan apa-apa isu atau bunuh karektor.
"Dalam Facebook pula (dia) cakap rumah saya ada kolam renang, tetapi rumah itu bukan milik saya. Saya terus terang dan saya tiada apa nak disembunyikan,” katanya semasa berkempen menemui pengundi di Kampung Sega, Rantau pada Rabu.
Malah sepanjang berkempen, Dr Streram berkata Mohamad sendiri yang membangkitkan isu seperti dakwaannya membeli sebuah apartmen bernilai RM10 juta di London.
“Kita sudah 11 hari berkempen, adakah kita mulakan apa-apa untuk membunuh karektor dia? Tidak. Kita bangkitkan isu apa yang Tok Mat bangkitkan.
"Dia cakap dia hantar RM10 juta di London untuk membeli sebuah apartment. Jadi bila dia kata macam tu, kita persoalkanlah mana dia dapat wang sebanyak itu dan apa sebab dia tidak hantar melalui proses normal? Jadi Tok Mat mesti beritahu siapa pemilik rumah itu,” ujarnya.
Pada malam Selasa, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ceramah politik di Kampung Kancong mendakwa PH akan melakukan serangan peribadi terhadap Mohamad dalam usaha membunuh karakter penyandang kerusi DUN Rantau berkenaan.
#Barisan Nasional
#Calon Pakatan Harapan
#cuba membunuh karakter
#Dr S Streram
#Kampung Sega
#Mohamad Hasan
#pilihan raya kecil
#prk rantau
#Rantau Memilih
#Tok Mat