Strategi Mohamad Nizar bakal makan diri di Gopeng - Radzi
Shafiq Noordin
April 28, 2018 18:24 MYT
April 28, 2018 18:24 MYT
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat menyaksikan pertembungan sengit yang dianggap kawan jadi lawan di antara Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Radzi Zainon dan mantannya, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mewakili PKR.
Radzi dilantik ke jawatan itu menggantikan Mohamad Nizar yang kini Timbalan Pengerusi Amanah selepas meninggalkan Pas untuk menyertai parti serpihannya (Amanah).
Lebih menarik, kerusi yang dianggap panas di bawah Parlimen Gopeng (P.071) itu akan turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Barisan Nasional (BN), PKR dan Pas.
BN meletakkan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kasim sebagai calon kerusi itu.
Radzi menyifatkan pertembungan dengan Mohamad Nizar sebagai satu strategi yang bakal memakan diri sendiri bagi PKR.
“Saya rasa pertembungan ini bukan masalah besar sebab sokongan kita (Pas) di Sungai Rapat khususnya pengundi Melayu semakin meningkat malah ia telah menunjukkan peningkatan luar biasa.
“Bukan sahaja di Sungai Rapat namun mungkin seluruh Parlimen Gopeng nanti ktia mampu buat kejutan, saya rasa undi itu tidak akan berpecah banyak, mungkin hanya ratusan sahaja akan pergi kepada beliau (Mohammad Nizar),” katanya ketika ditemui sejurus tamat proses penamaan calon yang dibuat di Dewan Seri Kinta, Kolej Matrikulasi Perak, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad Nizar pula mempertahankan percaturan yang dibuat oleh PKR ‘menerbangkan’ beliau dari DUN Changkat Jering di Taiping ke DUN Sungai Rapat, Gopeng.
Partinya berkeyakinan dapat menewaskan Radzi yang merupakan penyandang bagi kerusi itu.
“Kita tidak akan menghadapi masalah kerana kita telah tahu gerak kerja dia (Radzi) dan kelemahan-kelemahan dia, jadi ia bukan masalah.
“Malah saya pernah bersama-sama dengan dia untuk satu penggal di sidang DUN, kita tahu dia punya strategi dan pendekatan yang akan diambil beliau dan kita akan atasinya,” kata beliau.
Pada pilihanr aya lalu, Radzi sebagai penyandang kerusi DUN terbabit telah mengalahkan Datuk Hamidah Osman dari BN dengan majoriti 2,638 undi.
Dalam pengumuman yang dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya P071 Shahrul Azam Shaari itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr. Lee Boon Chye diumum akan mempertahankan kerusi Parlimen terbabit menentang Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie (BN) dan Ismail Ariffin (Pas).
Pada PRU13 lalu, Lee telah mengalahkan calon BN dengan majoriti 15,309 undi.
Bagi kerusi DUN Simpang Pulai pula akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara penyandangnya Tan Kar Hing dengan Liew Yee Lin dari BN dan Mohd Arif Abd Latiff dari Pas.
Pada pilihan raya lalu, Tan telah mengalahkan Chang Ko Youn (BN) dengan majoriti 11,083 undi.
Sementara itu pertembungan tiga penjuru turut akan berlaku di kerusi DUN Teja dengan BN meletakkan Chang Chun Cheun menentang Sandrea Ng (PKR) dan Mokhtar Abdullah (Pas).
Kerusi tersebut sebelum ini dimenangi oleh Chang Lih Kang (PKR) dengan majoriti 2,082 undi mengalahkan calon BN. Chang akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Malim menentang Pengerusi MCA Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Dalam pada itu, permohonan seorang calon Bebas, G. Balachandran berusia 41 tahun untuk bertanding di kerusi Parimen Gopeng telah ditolak oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kerana pencadang dan penyokong beliau tidak berdaftar di kawasan terbabit.
Parlimen Gopeng mempunyai 99,167 pengundi dengan pecahan 42.37 peratus kaum Melayu, 46.01 peratus kaum Cina, 9.12 peratus kaum India dan 2.09 peratus kaum Orang Asli.
#Barisan Nasional
#Datuk Hamzah Kasim
#DUN
#Gopeng
#Mohamad Nizar Jamaluddin
#PAS
#PKR
#Radzi Zainon
#Sungai Rapat