Status lima ADUN UMNO Sabah sokong Hajiji akan dinilai lembaga disiplin, MKT parti
Abdul Hafiz Mustadi
Januari 30, 2023 16:19 MYT
Januari 30, 2023 16:19 MYT
KOTA KINABALU: Status lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor akan dinilai lembaga disiplin parti sebelum diserahkan kepada Majlis Tertinggi untuk membuat keputusan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu itu akan diuruskan secara berasingan dan ia berbeza dengan tindakan yang diambil MKT ke atas pemimpin parti di Semenanjung baru-baru ini.
Menurutnya, hal ini susulan dinamika politik Sabah yang berbeza dengan Semenanjung.
"Saya akan tangani isu ini secara berasingan. Kami telah berbincang tentang isu tersebut sebentar tadi dan saya fikir beberapa penyelesaian perlu dicari. Saya fikir penyelesaian tuntas akan diumumkan kemudian", ujar Zahid dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan UMNO di Pejabat Perhubungan UMNO Sabah pada Isnin.
Selain itu, Zahid seolah-olah memberi bayangan seorang daripada lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji telah kembali dan akur dengan keputusan parti.
"Kenapa 5 (ADUN)? kenapa tidak 4 (ADUN)? Jadi kaedah penyelesaiannya kita mempunyai lembaga disiplin UMNO. Jadi proses itu mesti dilakukan oleh lembaga disiplin baru diserahkan kepada Majlis Tertinggi untuk melakukan keputusan," katanya.
Terdahulu, lima ADUN UMNO Sabah iaitu Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Yusof Yacob (Sindumin) pada 8 Januari mengesahkan sokongan terhadap Hajiji melalui akuan bersumpah (SD) untuk meneruskan pentadbiran beliau selaku Ketua Menteri sehingga tamat penggal.
Perkara tersebut sekali gus dilihat sebagai tindakan membelakangkan keputusan UMNO Sabah yang sebulat suara menarik sokongan terhadap kepimpinan Hajiji yang tidak selari dengan Fasal 6(3) dan (7) Perlembagaan Negeri Sabah pada 6 Januari lalu.
Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memecat beberapa pemimpin parti itu termasuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar.
Malah, beberapa pemimpin digantung enam tahun iaitu melibatkan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan; Ahli MKT UMNO Fathul Bari Mat Jahya, bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.