Srikandi Muda ditubuh, wadah baharu pelapis pemimpin - Rina Harun
Fareez Azman
November 28, 2020 13:31 MYT
November 28, 2020 13:31 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun mengumumkan penubuhan Srikandi Muda dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada pagi Sabtu.
Jelasnya, platform di bawah Agenda Pemerkasaan Srikandi, Agenda Bertindak 2.0 (2020-2035) itu dijangka bakal melatih pemimpin dan pelapis dari golongan muda bersama Bersatu.
"Penubuhan platform Srikandi Muda adalah wadah baharu dalam mengemudi anak muda ke puncak kejayaan. Saya ingin tekankan bahawa adalah amat penting untuk kita melatih bakal pemimpin, pelapis kita sedari usia muda.
"Memandangkan usia layak mengundi adalah 18 tahun, kita adakan program outreach golongan mahasiswa/beliawanis dan remaja agar mereka sertai Srikandi. Srikandi Muda adalah harapan kita dalam membawa parti Bersatu untuk terbang lebih tinggi, dan mustahil berpatah arang dalam perjuangan membawa panji-panji rakyat," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Rina turut menzahirkan penghargaan kepada jentera Srikandi seluruh negara yang bertungkus-lumus dalam memastikan kemenangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.
"Saya merakamkan ucapan setinggitinggi tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera Srikandi dari akar umbi yang telah bertungkus-lumus memenangkan kita di negeri Sabah. Saya juga amat menghargai semangat setiakawan, kebersamaan dan berjemaah yang ditonjolkan di antara perwira Srikandi dari Semenanjung dengan rakan-rakan perwira Srikandi Negeri Sabah yang saling membantu dalam memenangkan kita di Negeri Sabah.
"Benarlah pepatah yang kita biasa dengari dan tuturkan dari zaman sekolah - “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Kerana muafakat yang ikhlas inilah berhasilnya kemenangan yang besar," katanya lagi.
#PPBM
#Bersatu
#Rina Mohd Harun
#Ketua Srikandi Bersatu
#Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu
#Srikandi Muda
#rakyat
#golongan muda