Sri Aman, Bukit Gantang nafi sokong Tun Mahathir

Astro Awani
Februari 29, 2020 00:37 MYT
Dua Ahli Parlimen nafi beri sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi SD.
SENARAI 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong dan menandatangani Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-8 didakwa tidak tepat, oleh sekurang-kurangnya dua daripada nama yang telah disenaraikan.
Menerusi satu hantaran di Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Khusairi Talib, dinyatakan bahawa Ahli Parlimen Bebas Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin, telah menafikan sokongan berkenaan.
Kenyataan itu, berdasarkan status berkenaan, dipetik daripada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.
Hantaran itu disertakan sekeping gambar Syed Abu Hussin sedang bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengakuan Syed Abu Hussin itu diperoleh pada jam 11.25 malam Sabtu.
Sementara itu, selepas waktu tengah malam (Ahad, 1 Mac) Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat dalam sebuah video yang mula tular di media sosial memaklumkan bahawa dirinya tidak pernah menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir menerusi SD, seperti dalam senarai yang didedahkan pihak Pakatan Harapan.
"Saya dengan ini menafikan bahawa saya menyokong dan menurunkan akuan bersumpah (SD) kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Saya dengan ini menjelaskan bahawa hal ini adalah tidak benar, dan dengan ini saya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sepertimana yang rakyat Malaysia maklum," ujarnya.
Masir memohon perkara itu tidak menjadi isu politik supaya semua pihak dapat menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong.

One of the 114 MPs alleged to have signed the SDs supporting Pakatan Harapan denies doing so. pic.twitter.com/pnXW23yycK

— Raja Petra Bin Raja Kamarudin (@RajaPetra) February 29, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu, pada Sabtu malam, Tun Dr Mahathir memaklumkan akan persembahkan surat rasmi berkaitan Akuan Berkanun (SD) yang disokong oleh 114 ahli Parlimen berkaitan sokongan menjadi Perdana Menteri kelapan kepada Yang di-Pertuan Agong.
BACA: Tun M dedah senarai nama 114 ahli Parlimen, akan persembah kepada Agong
#ahli Parlimen #bukit gantang #Malaysia 2020 #Malaysia2020 #masir kujat #Muhyiddin Yassin #MY2020 #Perdana Menteri #sokongan politik #Sri Aman #Syed Abu Hussin
;