SPRM Kelantan buka bilik gerakan sepanjang PRN - Pengarah
Bernama
Julai 16, 2023 16:53 MYT
Julai 16, 2023 16:53 MYT
TANAH MERAH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan membuka bilik gerakan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain berkata bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai 29 Julai.
"Pada PRN kali ini, bilik gerakan itu akan beroperasi di Pejabat SPRM Kelantan.
"Sepanjang masa ada pegawai bertugas, orang ramai boleh menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada PRN nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Cegah Rasuah Rezeki Barokah di Masjid Ismail Petra Tanah Merah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rosli berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perbuatan rasuah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubarkan pada 22 Jun lepas.
"Kita nasihatkan mana-mana individu agar tidak terlibat dengan salah laku rasuah agar PRN berjalan dengan lancar," katanya.
-- BERNAMA