SPRM gesa wujud akta dana politik, jamin integriti ahli politik
Ehsan A Marisah
Oktober 1, 2021 13:00 MYT
Oktober 1, 2021 13:00 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa agar akta dana politik diwujudkan sebagai usaha membentuk integriti situasi politik negara.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, akta tersebut diperlukan bagi mengelakkan timbulnya isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan selain menjamin integriti dalam kalangan ahli politik.
“Saya percaya semua parti ada menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menggerakkan parti mereka. Oleh itu, perlu ada satu penjelasan dalam sumbangan yang diterima ahli politik sama ada ia dikelaskan dalam sumbangan yang dibenarkan atau berbaur rasuah bagi memudahkan SPRM faham dan mengelaskan kes berkenaan.
“Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) merupakan badan yang mengepalai draf undang-undang terbabit sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya Sempena Ulang Tahun BPR/SPRM ke-54 secara maya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menambah, isu lompat parti membabitkan ahli politik dianggap sebagai hak masing-masing, namun merupakan perbuatan yang tidak profesional.
“Lompat parti dianggap tidak profesional kerana ia menjejaskan imbangan kuasa wakil rakyat (Ahli Parlimen) di Dewan Rakyat yang membuat undang-undang, kelangsungan kerajaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Meskipun dianggap tidak salah di sisi undang-undang, apa yang menjadikannya sebagai perbuatan yang tidak bermoral adalah apabila seseorang Ahli Parlimen atau wakil rakyat ditawarkan dengan wang ringgit dan jawatan untuk melompat parti,” katanya.
Selain itu, kata Azam, isu berkaitan ‘conflict of interest’ dalam sesebuah organisasi boleh dielakkan dengan adanya sistem dan tatacara kerja yang telus.
“Misalnya, di SPRM kita mempunyai lima badan panel bebas yang memantau suruhanjaya ini sebagai mekanisme semak dan imbang. Kewujudan mekanisme ini dapat mengelakkan perkara ini berlaku.
“Sistem kerja kita juga perlu ada garis panduan khusus agar pegawai-pegawai atau mana-mana individu yang berurusan dengannya dapat mengetahui batas-batas yang perlu mereka patuhi dalam menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai usaha meraih sokongan dan kepercayaan rakyat, kata Azam, terdapat empat strategi teras yang digunakan dalam memerangi rasuah dalam setiap lapisan masyarakat.
Ia termasuk Strategi Teras 1 (Penguatkuasaan); Strategi Teras 2 (Pencegahan); Strategi Teras 3 (Pendidikan) dan Strategi Teras 4 (Pengukuhan).
“Dalam era yang berteknologi tinggi, SPRM juga menggunakan teknologi untuk menyebarluaskan mesej antirasuah seperti menggunakan platform media sosial dan portal supaya orang ramai dapat memperoleh maklumat berkaitan dengan lebih mudah, cepat dan tepat.
“Pada masa yang sama, SPRM juga menerapkan elemen antirasuah dari segi pendidikan iaitu memasukkan subjek elektif Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mewujudkan Kor Kadet SPRM di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari sudut kokurikulum supaya golongan muda mengetahui kesan negatif rasuah terhadap individu dan masyarakat,” katanya.
Ujarnya lagi, masyarakat umum perlu mengetahui bahawa kegiatan rasuah berlaku apabila ada pihak yang menawar dan memberi serta ada pihak yang meminta atau menerima.
Demi kepentingan semua, sama-sama kita menolak rasuah dan jangan membiarkan jenayah rasuah memusnahkan masa depan negara.
SPRM menyambut ulang tahun ke-54 tahun ini dengan tema ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’, sepenuhnya secara maya dengan penganjuran pelbagai program menarik di seluruh negeri di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.