SPR: Usah bimbang, undi kekal rahsia

Bernama
Mei 3, 2013 17:30 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi menegaskan pengundi tidak perlu bimbang akan berlaku penipuan pada proses membuang undi Ahad ini kerana undi adalah kekal rahsia.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf turut menjelaskan cetakan nombor siri hanyalah untuk memudahkan petugas SPR membuat semakan dan pengiraan bilangan kertas undi dalam satu buku yang mengandungi 50 helai.
"SPR ingin menegaskan bahawa undi anda adalah rahsia dan kerani SPR tidak dibenarkan dan tidak akan membuat apa-apa catatan pada kertas undi atau senarai nama buku daftar pemilih.
"Kerani SPR juga tidak mengetahui siapa yang beratur untuk mengundi dan pengundi yang datang bukan menurut nombor siri seperti yang ada dalam buku daftar pemilih," katanya.
Untuk itu pengundi dinasihatkan agar membawa kad pengenalan mereka untuk tujuan semakan dan menasihatkan para pengundi supaya tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang meminta kertas undi atas alasan untuk menjamin kerahsiaan undi.
Katanya lagi, bagi pengundi yang telah berpindah dan menukar alamat pada kad pengenalan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi tidak memohon untuk menukar alamat pusat mengundi, mereka masih layak mengundi, katanya pada sidang berita di ibu pejabat SPR di sini hari ini.
"Undang-undang jelas mengatakan mengundi adalah berdasarkan nama seseorang pengundi itu didaftarkan. Apabila mendaftar sebagai pengundi, namanya kekal di situ sehinggalah pengundi itu memohon untuk menukar alamat pusat mengundi dengan SPR.
"Bagi pengundi seperti ini, mereka boleh menyemak maklumat pengundian mereka untuk mengesahkan tempat mengundi masing-masing," katanya.
Abdul Aziz turut meminta warga emas supaya jangan terpedaya dengan permintaan untuk mencalit dakwat di jari mereka sebelum keluar mengundi kerana calitan dakwat kekal hanya boleh dilakukan kerani SPR di tempat mengundi.
Sebelum dakwat kekal dicalit pada jari telunjuk kiri setiap pengundi, katanya jari akan diperiksa dahulu supaya ia bebas daripada sebarang dakwat.
"Jika pengundi enggan jarinya dicalit, maka kertas undi tidak akan diberikan kepadanya," katanya.
Sambil meminta pengundi tidak menyerahkan kad pengenalan kepada orang lain, Abdul Aziz juga berkata jika semasa mengundi, pengundi mendapati kertas undinya terkotor terkena dakwat kekal, mereka boleh memohon kepada ketua tempat mengundi untuk mendapatkan kertas undi gantian.
"Namun, ketua tempat mengundi harus berpuas hati bahawa kekotoran itu bukan disengajakan," katanya.
Abdul Aziz berkata pengundi juga boleh membuat semakan, seperti nama pusat mengundi, nombor saluran dan nombor siri mengundi (dalam buku daftar pemilih) menerusi laman sesawang SPR www.spr.gov.my, portal PRU ke-13 www.pru13.gov.my dan khidmat pesanan ringkas dengan menaip SPR "jarak" SEMAK "jarak" no kad pengenalan dan hantar kepada 15888 atau 29292 (Celcom), 33080 dan 22789 (Maxis) dan 33080 (Digi).
Pengundi juga boleh menelefon pusat panggilan SPR 03-88856565 atau hadir sendiri ke ibu pejabat SPR di Putrajaya atau pejabat pilihan raya negeri.
"Pada hari mengundi, semakan juga boleh dibuat di barung-barung SPR yang disediakan di pusat-pusat mengundi," katanya.
Abdul Aziz berkata pengiraan undi bagi pilihan raya umum itu akan dibuat di tempat mengundi dan bukannya di tempat penjumlahan rasmi undi, selepas proses pengundian tamat pada 5 petang.
Beliau berkata semasa proses mengira undi dijalankan, ejen-ejen calon akan berada di tempat mengundi itu untuk memerhati proses pengiraan undi.
"Proses pengiraan undi juga boleh disaksikan oleh pemerhati dari dalam dan luar negara yang dilantik oleh SPR," katanya.
Abdul Aziz berkata SPR juga menerima laporan bahawa ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dilantik oleh pihak tertentu untuk memantau proses pilihan raya, namun beliau berharap NGO terbabit tidak menganggu proses pengundian, dan wakilnya dilarang memasuki pusat-pusat mengundi atau mengganggu pengundi.
Selain itu, katanya ejen calon yang bertugas pada hari mengundi di tempat mengundi juga tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan lambang parti, gambar dan nama calon berikutan tempoh kempen sudah tamat pada malam Sabtu.
#SPR #Tan Sri Aziz #PRU13 #PRU-13
;