SPR teliti cadangan wakil rakyat perlu kepujian Bahasa Melayu

Bernama
Mei 3, 2015 17:29 MYT
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata cadangan itu perlu diteliti dari segi kesesuaian pelaksanaannya. - Gambar Fail
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti cadangan bagi mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat perlu mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata cadangan itu perlu diteliti dari segi kesesuaian pelaksanaannya.
"Dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang SPR, tidak ada peruntukan yang mensyaratkan calon pilihan raya perlu lulus kepujian Bahasa Melayu," katanya.
Beliau mengulas cadangan ahli akademik Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sebelum ini yang mahu SPR mensyaratkan mereka yang mahu menjadi wakil rakyat bagi peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, perlu sekurang-kurangnya mendapat kepujian Bahasa Melayu dalam SPM.
Dia turut mencadangkan agar wakil rakyat ditemuduga mengenai penguasaan Bahasa Melayu dan sejarah kenegaraan sebelum dibenarkan bertanding.
Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dilapor sebagai berkata cadangan itu perlu disokong kerana setiap pemimpin di negara ini perlu mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.
#Bahasa Melayu #Mohd Ridhuan Tee Abdullah #SPM #SPR
;