SPR lakukan semakan akhir menjelang PRK Rantau esok
Rahimah Abdullah
April 12, 2019 10:20 MYT
April 12, 2019 10:20 MYT
Berbaki kurang 24 jam sebelum hari pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan semakan isi peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada ketua tempat mengundi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan SJKC Bandar Sri Sendayan.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata semakan bagi memastikan semua peralatan kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik.
“Semakan peralatan mengundi adalah seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian.
Peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Saluran Mengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sejumlah 515 petugas akan bertugas pada proses pengundian esok di 14 Pusat Mengundi dan 53 Saluran.
Pengundi dinasihat agar membuat semakan sebelum keluar mengundi dan datang awal ke pusat mengundi.
Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.
Sejumlah 20,793 pengundi bakal mengundi di PRK DUN N.27 Rantau esok.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S.Streram; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan Malarvizhi Rajaram.
#Barisan Nasional
#Mohamad Hasan
#Pakatan Harapan
#prk rantau
#Pusat Penjumlahan Rasmi Undi
#Streram