SPR kemuka rayuan dapatan fakta Pilihan Raya DUN Rantau
Astro Awani
November 28, 2018 21:02 MYT
November 28, 2018 21:02 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan rayuan terhadap dapatan fakta bagi petugas SPR untuk keputusan Mahkamah Pilihan Raya berkenaan pembatalan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan media hari ini berkata, rayuan dibuat setelah mendapat nasihat peguam terutamanya kesannya kepada petugas SPR di masa akan datang.
"Setelah meneliti penghakiman lisan di dalam kes petisyen pilihan raya DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan dan mengambil kira nasihat peguam, khususnya mengenai kesan beberapa dapatan fakta dan undang-undang terhadap para petugas dan SPR sendiri kepada operasi dan perjalanan pilihan raya di masa akan datang, SPR mengambil keputusan untuk merayu terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya yang telah dibuat pada 16 Nov lalu.
"SPR ingin menjelaskan bahawa rayuan yang dibuat adalah berdasarkan dapatan fakta terhadap SPR dan para petugas dan tidak melibatkan pembatalan keputusan pilihan raya DUN N.27 Rantau semasa PRU14," katanya dalam kenyataan itu.
Mahkamah Pilihan Raya di Seremban pada 16 Nov lalu memutuskan kemenangan Mohamad Hasan pada PRU14 lepas sebagai batal dan tidak sah.
#Azhar Azizan Harun
#DUN Rantau
#Mahkamah Khas Pilihan Raya
#Mohamad Hasan
#Negeri Sembilan
#petisyen
#pilihan raya umum
#PRU14
#rayuan
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya