SPR adakan mesyuarat PRK Pelangai pada Khamis
Hilmi Malik
Ogos 21, 2023 18:35 MYT
Ogos 21, 2023 18:35 MYT
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Khamis.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya juga telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka membabitkan kerusi berkenaan.
Menurutnya lagi, perkara itu juga selaras dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri Pahang yang memperuntukkan kerusi tersebut diisi dalam tempoh 60 hari.
“Selaras dengan Bab IV Perkara 26 (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang telah memperuntukkan yang kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang pada 24 Ogos 2023 (Khamis).
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh di mana tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pemergian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.20 pagi, di Wisma Sri Pahang.
Pada Khamis lalu, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Johari Harun antara 10 mangsa yang maut dalam tragedi nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Johari yang pertama kali bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 7,308 undi memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (2,031 undi), dan Isa Ahmad dari Pejuang (65 undi).