Speaker sah terima notis daripada Bersatu, status dimaklum dalam 21 hari

Hasimi Muhamad
Jun 24, 2024 16:56 MYT
Menurut Johari, keputusan berhubung kedudukan wakil rakyat berkenaan akan diputuskan dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan telah menerima notis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung arahan untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri.
Jelas beliau, keputusan berhubung kedudukan wakil rakyat berkenaan akan diputuskan dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis tersebut.
“Saya baharu dapat surat dari Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee) pada Jumaat lalu dan mengikut undang-undang saya ada 21 hari untuk mengkaji.
“InsyaAllah apabila saya sudah ada keputusan, saya akan jawab dan panggil anda semua untuk beritahu.
“Jadi tolong bersabar. InsyaAllah saya ada 21 hari untuk mengkajinya,” katanya di sini pada Isnin.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sahkan menerima notis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung arahan untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri @501Awani pic.twitter.com/4MAbhrGD1i

— Hasimi Muhamad (@HasimiM) June 24, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Seni Sempena Ulangtahun ke-55 Hubungan Diplomatik Malaysia- Romania, hari ini.
Pada Khamis lalu, Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat meminta agar enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.
Menurut Ronald yang juga Ketua Whip Bersatu, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.
Minggu lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa 19 Jun.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang keanggotan Bersatu.
Selain Mohd Azizi, lima lagi adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) Dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
#Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul #Bersatu #Ronald Kiandee
;