SOP PRN Melaka tak masuk akal - Mahfuz
Ridauddin Daud
November 15, 2021 16:57 MYT
November 15, 2021 16:57 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah ‘SOP yang tidak masuk akal’.
Membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin, Mahfuz berkata beliau memahami SOP ditetapkan adalah untuk mengekang COVID-19 namun ada beberapa peraturan yang boleh dipersoalkan.
“Saya tunjuk contoh, pemasangan bunting, banner dan pengedaran pamplet kepada orang awam adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Ya, saya faham tetapi calon dan peraih calon boleh masuk kedai kopi, minum bersama dan bersemuka. Calon masuk ke tempat orang ramai, pergi bersemuka.
“Jadi mana yang dikatakan boleh kekang COVID-19 ini? Ini antaranya yang saya kata tidak masuk akal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa Penggulungan Bajet 2022 (Peringkat Dasar) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mahfuz kemudian memberikan satu lagi contoh, kali ini melibatkan kenderaan yang dipasang dengan pembesar suara pula.
“Kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ucapan. Jadi macam mana orang nak faham?
“Macam saya lalu depan rumah Tan Sri (Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun). Tuan-tuan dan puan-puan…
“Kemudian Tan Sri dengan itu saja, tak dengar yang lain. Mungkin yang lain kata “Jangan percaya kepada Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin).”
“Ini UMNO punya style lah, nak marah Pagoh. Jadi mesej itu tidak sampai kepada masyarakat,” ujarnya.
Katanya lagi, sama juga kesnya dengan calon hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan yang menurutnya, menyebabkan ramai jawatankuasa tertumpu pada satu kawasan dan menyebabkan berlakunya perhimpunan.