SOP PRN Johor dimuktamad, lebih longgar berbanding PRN Melaka dan Sarawak - Khairy

Shuhada Abdul Kadir
Februari 12, 2022 17:26 MYT
Kata Khairy, SOP yang dimuktamadkan itu lebih longgar berbanding SOP ketika PRN Melaka dan Sarawak lalu dengan lebih banyak perkara dibenarkan sepanjang tempoh berkempen. - Gambar fail/BERNAMA
PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadual bermula 26 Februari ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, SOP yang dimuktamadkan itu lebih longgar berbanding SOP ketika PRN Melaka dan Sarawak lalu dengan lebih banyak perkara dibenarkan sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.
“Meskipun kita sedang menghadapi gelombang Omicron, PRN Johor masih boleh diteruskan, tetapi SOP itu masih lagi ketat bukanlah (bebas) seperti sebelum tempoh pandemik COVID-19 lalu.
“Ada perkara yang KKM tidak benarkan, namun garis panduan yang akan dibenarkan itu lebih banyak berbanding ketika kita jalankan PRN Melaka dan Sarawak yang lalu.
“KKM juga sudah buat kajian dari segi kesan varian Omicron terhadap kesihatan awam yang mana kita yakin bahawa PRN boleh dilaksanakan dan terpulang kepada pematuhan orang ramai termasuk pemimpin politik,” katanya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'PRN Johor bukan untuk bereksperimen'
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan antara Wellness Hub KKM dan rakan strategik di Wellness Hub, Bagan Pinang di sini petang Sabtu.
Mengulas lanjut katanya, mengambil kira kejayaan pelaksanaan PRN Melaka dan Sarawak lalu yang tidak mencetuskan kluster dengan garis panduan yang dikeluarkan, tiada sebab untuk tidak meneruskan PRN di Johor.
Malahan katanya, beberapa negara luar juga mengadakan pilihan raya dalam tempoh pandemik COVID-19 memandangkan gelombang Omicron ketika ini tidak memberi gejala teruk kepada mereka yang dijangkiti virus berkenaan.
“(Ketika) PRN Melaka dan Sarawak lalu ramai yang mengecam saya membenarkan pilihan raya itu diteruskan kononnya mengatakan saya memudaratkan negara sedangkan ketika itu kita sudah yakin dengan liputan vaksin.
“Tetapi yang cakap itu tidak bertanggungjawab tidak mengakui bahawa dari segi kesihatan awam, kita sudah berjaya yang mana tiada kluster direkodkan berpunca daripada pelaksanaan dua PRN itu,”tambahnya.
Justeru katanya, beliau mengharapkan semua pihak mematuhi SOP yang telah dimuktamadkan bagi memastikan penularan jangkitan virus COVID-19 dapat dikawal selain tiada kluster direkodkan daripada pilihan raya berkenaan.
#Khairy Jamaluddin #SOP #PRNJohor #Johor Memilih
;