Solidariti dan keutuhan parti jamin kestabilan politik negara

Datuk M Periasamy
April 1, 2021 04:45 MYT
Rakyat semakin muak dengan permainan politik kepartian tanpa melihat keadaan rakyat marhaen yang semakin terhimpit dengan pandemik COVID-19. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) yang baru melabuhkan tirai minggu lalu menarik perhatian bukan sahaja orang Melayu bahkan bukan Melayu.
Perdebatan hangat perwakilan PAU jelas membayangkan jajaran politik baru akan muncul dalam pentas politik negara.
Hujah-hujah dan pendapat yang diutarakan oleh sebahagian perwakilan membayangkan bibit-bibit perpecahan bukan sahaja antara parti-parti politik utama yang dikuasai orang Melayu bahkan dalam parti UMNO.
Pandangan seorang pemimpin untuk mengadakan pemilihan parti sebelum membuat keputusan-keputusan tertentu terhadap hala tuju UMNO jelas menunjukkan keputuan yang ditetapkan bukan bersifat konsensus atau diterima baik oleh semua perwakilan PAU.
Dalam pada itu, cadangan UMNO untuk memantapkan undang-undang Syariah sekiranya parti itu memenangi majoriti kerusi di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang disambut baik orang Melayu.
Namun, cadangan itu mengundang polemik dalam kalangan bukan Melayu, khasnya di Sarawak dan Sabah yang dijangka diterjemahkan dalam keputusan PRU15.
Timbul tafsiran
Keputusan yang diambil UMNO, selaku peneraju Barisan Nasional (BN) untuk berlayar secara bersendirian pada PRU15 juga menimbulkan pelbagai tafsiran dan tanggapan.
Malah, keputusan tersebut menyemai rasa kebimbangan dalam kalangan parti komponen BN sendiri.
Bahkan Muafakat Nasional (MN), pakatan politik antara UMNO dan Pas yang bertujuan untuk mengukuhkan kuasa politik melalui perpaduan orang Melayu kelihatan semakin rapuh dengan dinamika politik yang kian berubah-ubah.
Soalnya, apakah masa depan gagasan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi platform untuk menubuhkan kerajaan berkenaan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh pada awal 2020.
Apakah Pas akan terus menyokong PN pada PRU15?
Pas dan MIC adalah dua parti terkemuka dan penting malah berpengaruh serta mampu menentukan keputusan PRU15.
Dengan pendirian UMNO untuk bertanding secara solo, MIC sebuah parti komponen BN dan Pas, sekutu dalam MN dijangka menghadapi kesulitan dalam menerima secara total keputusan PAU berkenaan.
Keputusan UMNO untuk berpisah dari PN meletakkan Pas dan MIC menghadapi dilema terhadap hala tuju masa depan menjelang PRU15.
Susulan keputusan PAU tersebut, Pas diuar-uarkan akan meneruskan hubungan dan sokongan kepada PN terutamanya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Manakala, Tan Sri SA. Vigneswaran, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan berkredibilti tinggi dan kian mendapat sokongan hebat kaum India, turut menyuarakan pandangan bahawa MIC harus diberi kebebasan untuk menentukan hala tuju parti menghadapi PRU15.
Meskipun beliau menghormati keputusan UMNO untuk tidak bersama PN pada PRU15, MIC tidak harus ditekan untuk mengikut keputusan UMNO.
Malah, beliau dilihat lebih pragmatik dalam pendekatannya mengenai hubungan dengan PN.
Beliau menganggap keputusan UMNO itu berpaksikan kepentingan politik UMNO, maka pandangan diutarakan bahawa MIC juga berhak membuat keputusan secara bebas terhadap hala tuju masa depannya perpaksikan kepentingan politik kaum India.
Dalam hal ini, MIC berharap parti itu perlu membuat keputusan bersandarkan aspirasi, kehendak dan harapan kaum India.
Dalam pada itu, soal keabsahan kepimpinan Muhyiddin dalam menerajui kerajaan PN tidak timbul dalam kalangan sebahagian besar orang India.
Sehingga kini, sebahagian besar orang India menyokong dasar dan langkah diambil kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin yang tampak berjaya mengurus tadbir negara dengan baik, khususnya pandemik COVID-19.
Sebagai rakyat, mereka melihat bahawa keperluan untuk memberikan sokongan padu kepada kerajaan tanpa mengira ideologi dan kepentingan politik kepartian dalam usaha memantapkan ekonomi negara yang semakin terkesan akibat COVID-19.
Sokongan secara berterusan yang diberikan oleh rakyat dapat membantu kerajaan untuk memulihkan sistem ekonomi negara yang kian menyusut.
Semakin muak
Sebenarnya, rakyat tidak banyak memperhitungkan soal politik yang berlaku dalam negara seperti didakwa sesetengah pihak.
Malahan, rakyat semakin muak dengan permainan politik kepartian tanpa melihat keadaan rakyat marhaen yang semakin terhimpit dengan pandemik COVID-19.
Dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi, kestabilan politik merupakan asas dan teras dalam menjamin pembangunan ekonomi negara, mahupun keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Demokrasi juga membawa falsafah yang mengutamakan aspirasi majoriti daripada mendahulukan kepentingan sesebuah kumpulan elit.
Justeru itu, rakyat berharap agar parti-parti politik yang mewakili orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk dalam negara menumpukan perhatian kepada usaha-usaha yang dapat membina solidariti antara mereka supaya kestabilan politik terjamin dan kekal.
Hanya melalui kestabilan politik, ekonomi dapat kembali dipacu dan kesejahteraan serta keharmonian negara terpelihara.

* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, sosio-budaya dan tamadun India.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#UMNO #PAS #Barisan Nasional #MIC #Pakatan Harapan #India #Parlimen #ekonomi #COVID-19 #undang-undang #rakyat #pandemik