Sokongan terhadap MCA semakin kukuh - Chong

Bernama
Mei 17, 2017 23:21 MYT
CHONG: Sokongan kepada MCA sangat baik sekarang berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, mereka (kaum Cina) sangat anti pada kita, bersalam pun tak nak. -Gambar fail
MCA Negeri Sembilan yakin sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu semakin kukuh, kata Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan II berkata hal ini dapat dilihat apabila setiap kali parti itu mengadakan program, ramai masyarakat Cina yang hadir sebagai tanda sokongan.
"Sokongan kepada MCA sangat baik sekarang berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, mereka (kaum Cina) sangat anti pada kita, bersalam pun tak nak," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam MCA Seremban, yang turut dihadiri Penasihat MCA Bahagian Seremban Datuk Peter Lai Yit Fee dan Datuk Hon Choon Kim.
Chong berkata beliau telah menggesa kesemua 60 cawangan MCA Seremban untuk bersama-sama menggembleng tenaga menghadapi PRU akan datang.
Seramai 600 ahli MCA hadir pada majlis makan malam itu.
-- BERNAMA
#Chong Sin Woon #pilihan raya umum #PRU #sokongan masyarakat Cina