Sokongan pengundi Cina terhadap BN pada PRN Sarawak boleh berulang
Bernama
Jun 14, 2016 07:17 MYT
Jun 14, 2016 07:17 MYT
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa percaya sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak yang lepas boleh berulang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Beliau berkata masyarakat Cina menghargai usaha kerajaan sejak pilihan raya umum ke-13 lepas dalam memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara.
"Saya tidak nampak kenapa masyarakat Cina tidak akan beri sokongan kepada BN.
"Saya ramalkan indikator di Sarawak akan berlaku di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, masyarakat Cina akan memberikan undi yang lebih besar (kepada BN) berbanding pilihan raya umum ke-13 lepas," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, pada Selasa.
Katanya BN menghormati keputusan dibuat pengundi khususnya masyarakat Cina dan India pada pilihan raya umum lepas, dan telah mengambil ikhtibar terhadap setiap perkara dibangkitkan mereka.
Annuar mengakui BN tidak sempurna dan proses memantapkan parti serta muhasabah diri masih berjalan dalam parti itu.
Bagaimanapun, beliau berkata BN melalui calonnya di Sungai Besar iaitu Budiman Mohd Zohdi dan Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid akan terus memberikan pembelaan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
"Kewujudan BN sejak dari awal lagi adalah untuk memberi pembelaan kepada pelbagai kaum...pada PRK ini, calon kita dapat berikan perhatian terhadap apa juga susah payah dan keluh kesah masyarakat Cina," katanya.
Justeru, beliau memohon pengundi kaum Cina dan India di kedua-dua kawasan Parlimen untuk terus menyokong BN bagi membolehkan parti itu membantu merealisasikan aspirasi mereka.