Sokongan orang Melayu, GTA yakin menang PRU15

Hasimi Muhamad
Ogos 27, 2022 11:10 MYT
Dr Mahathir berkata orang Melayu yang prihatin dan sayang kepada negara akan menyokong perjuangan GTA. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) yakin mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang dengan sokongan daripada orang Melayu yang disifatkan semakin baik, sejak penubuhan gabungan tersebut pada awal Ogos lalu.
Pengerusi Penajanya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu yang prihatin dan sayang kepada negara akan menyokong perjuangan GTA.
GTA dibarisi empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).
Ketika pertemuan dengan kumpulan orang Melayu, Dr Mahathir berkata, mereka meluahkan kekecewaan terhadap situasi ketika ini termasuk penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin-pemimpin yang diberi tanggungjawab membina negara.
"Perpecahan orang Melayu melemahkan orang Melayu. 70 peratus (orang Melayu) tidak bermakna kalau kita berpecah tetapi kalau kita (mahu) cantumkan 70 peratus ini, saya fikir sudah tidak mungkin, kerana ramai orang Melayu yang telah menyeleweng.
"Demikianlah penyelewengan mereka sehingga yang benar dikatakan tidak, yang tidak benar dikatakan benar, dan ini sudah bertukar dalam kalangan orang Melayu.
"Sebab itu (GTA) asingkan orang jenis ini, yang tidak malu, daripada pihak yang mengekalkan budaya, adat istiadat dan nilai-nilai orang Melayu seperti dahulu," kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Nasional 2022 Parti Berjasa di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.
Himpunan itu yang turut dihadiri Presidennya Zamani Ibrahim, mengumpulkan pimpinan-pimpinan Berjasa dari seluruh negara dengan anggaran kehadiran seramai 2,000 orang.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, berbanding bangsa-bangsa lain, Melayu dilihat lebih mengutamakan tanah air dan menganggap ia sebagai warisan.
Begitu pun, jelas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, jika orang Melayu berpecah, ia akan melemahkan bangsa itu, sekali gus memberi ruang kepada 'pencuri' untuk terus mentadbir Malaysia.
"Sebab itu kita yang sedar ini sanggup mengetepikan perjuangan masing-masing dan mengutamakan perjuangan untuk mendirikan tanah Melayu yang berwibawa, cekap, bersih dan beramanah.
"Ini boleh dilakukan kerana sambutan terhadap GTA amat meluas dan setiap hari ramai bertanya serta menyertai gerakan ini," ujar Dr Mahathir lagi.
Tambahnya, niat GTA untuk mentadbir negara bukan semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri, sebaliknya percalonan untuk jawatan itu hanya akan dilakukan jika kemenangan berpihak kepada mereka kelak.
Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.
Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Zamani, Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
#Gerakan Tanah Air #PRU15 #Mahathir Mohamad #sokongan orang Melayu
;