Sokongan mantap perlu dizahirkan kepada PM - Annuar Musa

Bernama
Disember 17, 2021 20:49 MYT
Annuar berkata kejayaan pentadbiran Ismail Sabri jelas dicapai menerusi pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia. - Gambar fail
KOTA BHARU: Sokongan kuat dan kepercayaan perlu diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah membuktikan kewibawaannya mentadbir negara dengan baik dan cemerlang sejak menyandang jawatan itu Ogos lepas.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata kejayaan pentadbiran beliau jelas dicapai menerusi pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia, yang merangkumi program serta inisiatif melibatkan 31 Menteri yang menerajui 26 kementerian dan 5 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari pertama selepas pelantikan mereka.
"Segala dasar dan rancangan yang dianjurkan oleh Perdana Menteri menunjukkan petanda bahawa kerajaan berada di landasan yang betul.
"Justeru itu, beliau perlu diberi peluang yang secukupnya sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023," kata Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan hari ini.
BACA: UMNO Ketereh lulus usul sokong PM Ismail Sabri hingga 2023
Tedahulu, UMNO Ketereh sebulat suara meluluskan usul menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri sehingga 2023 dalam usaha memulihkan ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial setelah dibelenggui pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.
#UMNO Ketereh #Annuar Musa #sokong ismail sabri #Keluarga Malaysia
;