Sokongan kaum Cina sudah kembali ke BN - Hishammuddin

Hafiz Marzukhi
Jun 18, 2016 00:24 MYT
Hishammuddin Tun Hussein berkata salah satu faktor kemenangan Barisan Nasional adalah pendekatan calonnya, Budiman Mohd Zohdi terhadap semua kaum di Sungai Besar. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein percaya sokongan kaum Cina sudah mula kembali kepada Barisan Nasional (BN) susulan kemenangan meyakinkan parti itu di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
"Kita harus kaji trend tersebut. Perkara ini melegakan saya dan ini hasil daripada sokongan dari semua parti komponen Barisan Nasional," kata Hishammuddin kepada pemberita.
Selain itu, beliau juga berkata, salah satu faktor kemenangan BN adalah pendekatan calonnya, Budiman Mohd Zohdi terhadap semua kaum di Sungai Besar.
"Saya perasan BN menjalankan kempen yang membina. Kami tidak mengamalkan politik perpecahan atau politik kebencian. Inilah kekuatan BN," kata Hishammuddin lagi.
Beliau turut ditemani pemimpin-pemimpin UMNO seperti Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.
BACA: BN kekal kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi
BACA: BN kekal kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969 undi
Budiman meraih 16,800 undi, mengalahkan calon dari Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur (7,609 undi) dan Dr Abdul Rani Osman dari PAS (6,902 undi).
Sementara, Datin Mastura Yazid menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969, meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi di Parlimen Kuala Kangsar.
#Budiman Mohd Zohdi #Hishammuddin Tun Hussein #PRK Sungai Besar
;